Kerjasama Whoscall, PDRM catat 10% kadar pengurangan menjawab panggilan 'scammer' dalam tempoh 8 bulan | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Whoscall, PDRM catat 10% kadar pengurangan menjawab panggilan 'scammer' dalam tempoh 8 bulan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Kerjasama Whoscall dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghasilkan kejayaan besar dalam mengurangkan kadar menjawab panggilan penipuan dalam talian rakyat Malaysia dengan mencatatkan sebanyak 10% dalam masa 8 bulan. 

 

Kerjasama antara Whoscall dan PDRM berlangsung sejak Januari 2023 dan ia melibatkan perkongsian pangkalan data nombor penipuan dalam talian daripada portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM kepada sistem data Whoscall.

 

Whoscall, yang kini mempunyai lebih 100 juta muat turun aplikasi ID pemanggil dengan pangkalan data terbesar di Asia Timur dan Asia Tenggara berjaya mengesan 3.1 juta panggilan palsu dan SMS di Malaysia setakat Ogos tahun ini, yzng mana 318,147 daripada nombor penipuan yang dikesan adalah daripada portal JSJK PDRM yang telah diimport ke pangkalan data Whoscall.

 

Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo berkata, melalui pangkalan data yang dikongsi daripada PDRM, pihaknya dapat menambah penandaan PDRM pada panggilan yang tidak diketahui di bawah ‘Scammer (disahkan oleh PDRM)’. 

 

"Kaedah ini terbukti sangat berjaya dalam menghalang rakyat Malaysia daripada menjawab panggilan penipuan dalam talian. Data yang dikumpul menunjukkan bahawa kadar menjawab panggilan penipuan dalam talian menurun daripada 21% kepada 11% dalam masa 8 bulan. 

 

"Kami amat gembira dengan keputusan itu dan akan terus komited untuk menyokong JSJK PDRM dalam melindungi rakyat Malaysia daripada penipu dan penipuan melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pangkalan data hak milik kami yang mengandungi lebih 1.6 bilion entri nombor telefon," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, pihaknya baru-baru ini melancarkan ciri terbaharu iaitu pengenalan panggilan tidak diketahui menerusi WhatsApp secara percuma untuk semua pengguna Whoscall. 

 

 

whoscall

 

 

Katanya, ciri baharu ini berfungsi untuk melindungi pengguna daripada kemungkinan penipuan dan panggilan palsu yang dijalankan melalui WhatsApp. 

 

"Ciri ini merupakan tambahan baharu kepada ciri 'URL Scanner' yang diperkenalkan pada Mei tahun ini. URL Scanner membantu pengguna memastikan keselamatan pautan dengan cepat dan mudah, sekali gus melindungi pengguna daripada mengklik pada pautan pancingan data secara tidak sengaja," katanya.

 

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, ACP Azman Mohd Isa pula berkata, PDRM berbesar hati melihat hasil positif daripada kerjasama dengan Whoscall. 

 

 

whoscall

 

 

Katanya, kerjasama dengan Whoscall ini merupakan elemen penting dalam Kempen Anti-Scam PDRM yang sedang berjalan yang menawarkan tindakan yang boleh diambil untuk melindungi daripada penipu dengan memanfaatkan teknologi pengenalan panggilan yang tidak diketahui Whoscall. 

 

"Kami berbesar hati kerana Whoscall sentiasa terus membangunkan dan memperkenalkan ciri baharu untuk bersaing dengan strategi penipuan yang sentiasa berubah. Kami berharap dapat meneruskan kerjasama ini dengan Whoscall untuk lebih banyak projek pencegahan penipuan untuk memerangi jenayah bersama-sama," katanya. - DagangNews.com