Kerjaya Prospek raih kontrak RM170.94 juta bina apartmen servis di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak RM170.94 juta bina apartmen servis di Pulau Pinang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Kerjaya Prospek Group Berhad telah meraih kontrak bernilai RM170.94 juta bagi projek pembinaan apartmen servis di Pulau Andaman, Pulai Pinang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd menerima surat anugerah daripada Persada Mentari Sdn Bhd.

 

Persada Mentari adalah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Berhad (E&O).

 

Kontrak ini meliputi pelaksanaan kerja-kerja bangunan utama 45 tingkat, yang terdiri daripada satu blok pangsapuri servis 38 tingkat dengan 380 unit, tempat letak kereta bawah tanah dua tingkat dan tempat letak kereta lima tingkat.

 

Projek terbabit disasarkan siap dalam tempoh 35 bulan bermula 18 Januari 2024.

 

“Kontrak ini dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

“Ia tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2024 hingga 2026,” tambahnya.

 

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata dengan kontrak baharu ini, buku pesanan kumpulan itu bernilai RM4.5 bilion, memastikan keterlihatan pendapatan jangka panjang pada tahun-tahun akan datang .

 

"Kami berbangga untuk memulakan tahun ini dengan kukuh, disokong oleh kontrak ini, yang menjadi permulaan bagi daripada banyak sasaran yang ingin dicapai oleh kami tahun ini," katanya yang yakin untuk memperoleh projek pembangunan kediaman baharu.

 

Tee menambah bahawa Kerjaya Prospek juga menyasarkan untuk memanfaatkan peluang yang menguntungkan merentasi pelbagai kelas pembinaan yang bersedia untuk pertumbuhan pada 2024, seterusnya meningkatkan kemahirannya.

 

Pada pukul 2:29 petang ini, saham Kerjaya Prospek telah menokok 2 sen atau 1.3% kepada RM1.54 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.95 bilion.  - DagangNews.com