KUALA LUMPUR 26 Ogos - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dilihat mampu mengurangkan jumlah kerugian dalam suku berikutnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berikutan peningkatan jumlah penumpang.
Pada kadar pemulihan ini, AmInvestment Bank Research percaya kumpulan mencapai pemulihan pada suku keempat ini dengan menjangkakan jumlah penumpang terus meningkat sejajar dengan kadar vaksinasi di seluruh dunia dan kelonggaran sekatan perjalanan secara beransur-ansur di seluruh dunia.
Menurut firma itu, statistik trafik pada Julai 2022 menunjukkan peningkatan dengan jumlah penumpang meningkat 2.8 kali ganda tahun ke tahun, mencerminkan pemulihan kepada 52% daripada tempoh sama yang sama sebelum pandemik COVID-19.
Katanya, pergerakan harian penumpang antarabangsa di lapangan terbang di seluruh negara juga menunjukkan purata 53,000 pada Julai 2022, mencerminkan pemulihan 35% daripada paras pada Julai 2019.
Bagi operasi Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (SGIA), ia terus mencatat peningkatan trafik mencecah sehingga 84% daripada paras 2019 berdasarkan prestasi pada Julai.
"Anggaran kami kekal tidak berubah termasuk trafik penumpang di Malaysia bagi FY22, melantun lima kali ganda tahun ke tahun kepada 63.2 juta daripada asas rendah 10.7 juta pada FY21.
"Ia seterusnya meningkat 37% kepada 86.3 juta pada FY23, mencerminkan pemulihan 60% ke tahap 2019 bagi FY22F dan 82% bagi FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Kerugian MAHB menurun kepada RM58.15 juta berbanding RM226.09 juta tahun lalu
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, kerugian bersih MAHB berkurangan kepada RM58.15 juta berbanding RM226.09 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ia disokong oleh pertambahan pendapatan sebanyak RM366.3 juta, walaupun peningkatan dalam susut nilai sejajar dengan trafik dan kos kewangan yang tinggi. Pendapatan bagi suku yang berakhir 30 Jun 2022 berjumlah RM689.75 juta berbanding RM323.41 juta.
Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan ini, kerugian bersih susut kepada RM162.9 juta daripada RM447.39 juta sebelumnya manakala hasil meningkat kepada RM1.26 juta daripada RM660.32 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2021.
AmInvestment berkata, prospek pendapatan MAHB dilihat semakin bertambah baik berdasarkan pemulihan dalam sektor perjalanan udara dan pelancongan apabila wabak itu terkawal dengan pelancaran vaksinasi berskala besar dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap MAHB dengan nilai wajar kekal tidak berubah pada RM6.80 sesaham.
Setakat 10.55 pagi, harga sahamnya susut 3 sen atau 0.5% kepada RM6.03 dengan 127,500 saham diniagakan. -DagangNews.com