Kes curi RM24 juta dari akaun pelanggan MBSB angkara Sindiket Heist, kali pertama JSJK guna SOSMA | DagangNews Skip to main content

Kes curi RM24 juta dari akaun pelanggan MBSB angkara Sindiket Heist, kali pertama JSJK guna SOSMA

Sidang media Ramli Mohamed Yoosuf berkenaan Sindiket Heist di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR 25 Julai - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) buat pertama kali dalam menyiasat kes jenayah komersial yang membawa kepada menumpaskan sindiket yang bertanggungjawab ke atas kes melarikan RM24.2 juta daripada akaun pelanggan sebuah bank di Kota Kinabalu.

 

Kumpulan itu, yang dikenali sebagai "Sindiket Heist", dipercayai bertanggungjawab terhadap kehilangan dana daripada akaun semasa.

 

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, Sosma digunakan selepas penyiasat mendapati kegiatan sindiket itu membabitkan unsur jenayah terancang yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada mangsa.

 

"Siasatan kes ini bermula pada 28 Jun 2024 dan berakhir pada 22 Julai 2024.

"Tindakan siasatan telah menyaksikan penggemblengan tenaga melibatkan lebih 50 Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis yang bertindak di dalam pasukan-pasukan kecil (task force).

 

"Ia melibatkan kejituan penyelarasan di semua peringkat dan sinergi setiap pasukan petugas dengan Jabatan Peguam Negara sehingga membawa ke pertuduhan hari ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK di Menara KPJ di sini hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pengurus bank, kontraktor antara 10 didakwa berkait kes curi RM24.2 juta akaun pelanggan MBSB

 

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] MBSB Bank pulangkan RM24.2 juta yang dicuri dari akaun simpanan tetap pelanggan

 

mbsb
Dua pengurus bank antara didakwa hari ini berkaitan kehilangan kes wang pelanggan bank MBSB. -Gambar Borneo Post


Memetik The Star, Ramli mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat dalam kes itu, termasuk siasatan JSJK Bukit Aman, pasukan risikan dan operasi dan Bahagian Pendakwaan AGC atas kejayaan penahanan dan pendakwaan suspek.

 

“Saya amat memuji usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam kes itu.

 

“Kejayaan pendakwaan hari ini akan menjadi permulaan kepada lebih banyak siasatan yang berjaya untuk JSJK dalam masa terdekat,” katanya.

 

Dilaporkan bahawa 10 orang, termasuk dua pengurus bank, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang yang dikaitkan dengan kehilangan wang berjumlah RM24.2 juta daripada beberapa akaun bank.

 

Tertuduh ialah Josepin J. Langkan, Mazlani Jenuary, Hasran Magin, Leong Hin Ping, Subramaniam Thangavelu, Sugumaran K. Ponniah @ Mohd Daniel Abdullah, Vireonis Jonok, Iren Chin Nyuk Thien, Christina @ Caroline Pianus, dan Nasir Abdul Rashid.

 

Suspek berusia antara 37 dan 62 tahun dihadapkan ke Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, di mana mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

 

Tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu tarikh sebutan seterusnya, ditetapkan pada 13 September. 

 

Pengakuan mereka hanya akan direkodkan di Mahkamah Tinggi selepas usul difailkan.- DagangNews.com