Kes penceraian melonjak 43.1% kepada 62,890 orang pada 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Kes penceraian melonjak 43.1% kepada 62,890 orang pada 2022 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Nov - Bilangan kes perceraian meningkat 43.1% kepada 62,890 orang pada 2022, berbanding daripada 43,936 pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan perceraian orang Islam mencatatkan peningkatan 45.8% pada 2022 (46,138) berbanding 2021 (31,650). 

 

Beliau berkata, peningkatan ini disebabkan oleh kes-kes yang dibawa ke hadapan daripada tahun sebelumnya. 

 

Katanya, tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kedah (113.6%), Sabah (94.5%) dan Perlis (83.5%). 

 

"Sementara itu, perceraian orang bukan Islam juga turut meningkat 36.4% daripada 12,286 (2021) kepada 16,752 (2022). Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang bukan Islam iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (500%) diikuti Johor (61.5%) dan Melaka (59%). 

 

"Perceraian tertinggi adalah pada kumpulan umur 35-39 tahun bagi pengantin lelaki, manakala pengantin perempuan adalah pada kumpulan umur 30-34 tahun," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Selari dengan peningkatan bilangan perceraian, kadar perceraian am menunjukkan peningkatan bagi lelaki daripada 6.1 (2021) kepada 8.7 (2022) bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang berkahwin. 

 

 

DOSM

 

 

Trend yang sama juga direkodkan bagi perempuan, meningkat da]Sementara itu, Mohd Uzir berkata, bilangan perkahwinan yang direkodkan pada 2022 adalah 214,824, menurun 0.5% daripada 215,973 pada 2021. 

 

Katanya, umur penengah pengantin lelaki kekal pada umur 28 tahun manakala umur penengah pengantin perempuan meningkat kepada umur 27 tahun berbanding 26 tahun pada 2021. 

 

"Penurunan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penurunan 4.1% bilangan perkahwinan orang Islam pada 2022 (168,726) berbanding 2021 (176,002). 

 

"Tiga negeri yang menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan orang Islam adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (19.6%), diikuti Perak (12.8%) dan Terengganu (11.3%)," katanya.

 

Menurut Mohd Uzir, sebaliknya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam pula merekodkan peningkatan 15.3% daripada 39,971 (2021) kepada 46,098 (2022). 

 

Katanya, tiga negeri yang menunjukkan peningkatan perkahwinan orang bukan Islam iaitu Terengganu (40.2%), Johor (26.6%) dan Negeri Sembilan (21.1%).

 

Beliau berkata, pada 2022, hampir 7% daripada jumlah perkahwinan adalah perkahwinan di antara pengantin lelaki dan perempuan yang berbeza kumpulan etnik. 

 

"Bilangan perkahwinan antara etnik menurun 15.4%, iaitu daripada 16,346 (2021) kepada 13,833. Perkahwinan antara etnik bagi Orang Islam adalah 44.2 peratus dan Orang Bukan Islam 55.8%," katanya.

 

Beliau menambah, perkahwinan tertinggi adalah pada kumpulan umur 25-29 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan. Statistik juga menunjukkan umur pengantin lelaki dan pengantin perempuan paling tua direkodkan pada tahun 2022 masing-masing adalah berumur 92 tahun dan 86 tahun.

 

Sementara itu, 2.9% pengantin lelaki berumur 65 tahun dan lebih telah mengahwini pengantin perempuan yang lebih muda dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah. Manakala, 3.5% pengantin perempuan berumur 65 tahun dan lebih telah berkahwin dengan pengantin lelaki dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah. 

 

Daerah Petaling, Selangor mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi bagi orang Islam dan Islam pada 2022. Bilangan perkahwinan orang Islam di Petaling, Selangor adalah 8,602 diikuti Johor Bahru, Johor (7,770) dan Ulu Langat, Selangor (6,347). 

 

Bagi orang bukan Islam, daerah Petaling mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi iaitu 3,304 diikuti Johor Bahru, Johor (2,676) dan Klang, Selangor (2,307). - DagangNews.com