Kesan El Nino terhadap pengeluaran minyak sawit hanya diketahui pada 2024 - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Kesan El Nino terhadap pengeluaran minyak sawit hanya diketahui pada 2024 - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - RHB Investment mengunjurkan kesan El Nino terhadap pengeluaran minyak sawit hanya dapat dilihat pada 2024.

 

Firma itu berkata, pihaknya mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini sebanyak RM3,900 bagi setiap tan.

 

Bagaimanapun, bagi 2024, firma itu berkata, sekiranya El Nino itu berlaku pada tahap yang sederhana, ia tetap memberi kesan kepada bekalan dan harga bergantung kepada permintaan semasa ketika itu.

 

"Kami percaya harga MSM mungkin lebih tinggi pada separuh kedua tahun hadapan berbanding separuh pertama kerana kesan El Nino hanya dapat dilihat antara Mei, Jun dan seterusnya.

 

"Kami mengekalkan andaian harga sebanyak RM3,900 setiap tan bagi 2024 manakala RM3,800 untuk satu tan pada 2025.

 

"Jika El Nino memberi kesan besar, kami akan mengkaji semula unjuran harga terhadap MSM," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu percaya bahawa harga MSM yang lebih tinggi pada 2024 akan memberikan impak yang lebih positif kepada kepada pengeluar tulen berbanding pengeluar bersepadu.

 

Katanya, pengeluar bersepadu akan menyediakan asas pendapatan yang lebih stabil dan pulangan dividen yang konsisten.

 

"Selain itu, tidak semua pengeluar tulen akan mendapat manfaat yang sama, memandangkan struktur cukai Indonesia dan kadar pertukaran yang merosot. 

 

"Pengeluar dari Indonesia tidak akan mendapat manfaat sebanyak pengeluar Malaysia," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com