Kesejahteraan rakyat Malaysia catat peningkatan 2.5% pada 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Kesejahteraan rakyat Malaysia catat peningkatan 2.5% pada 2022 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Prestasi Laporan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) 2022 mencatat peningkatan sebanyak 2.5% kepada 121.2 mata berbanding 118.3 mata pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kesejahteraan rakyat Malaysia pada 2022 berada dalam fasa endemik dan pemulihan COVID-19. 

 

Katanya, peralihan negara ke fasa endemik yang bermula April 2022 dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat dan ini telah memberi impak positif kepada kedua-dua subkomposit.

 

"Kedua-dua subkomposit menunjukkan peningkatan pada 2022. Subkomposit kesejahteraan ekonomi merekodkan peningkatan 3.6% pada 2022 kepada 130 mata berbanding 125.5 mata pada 2021 dan subkomposit kesejahteraan sosial pula meningkat 1.8% kepada 116.4 mata berbanding 114.3 mata pada tempoh sama," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, pertumbuhan positif kesejahteraan rakyat Malaysia disumbangkan peningkatan 11 daripada 14 komponen ekonomi dan sosial pada 2022. 

 

Katanya, tiga komponen tertinggi yang menyumbang kepada peningkatan IKRM adalah hiburan dan rekreasi (20.8%), pengangkutan (8%) dan kebudayaan (6.5%).

 

Berdasarkan penemuan indeks subkomposit kesejahteraan ekonomi, kesemua lima komponen mencatatkan pertumbuhan positif pada 2022 iaitu pengangkutan (8%), pendapatan dan pengagihan (5.0%), pendidikan (4.1%), komunikasi (0.5%) dan persekitaran kerja (0.4%). 

 

 

DOSM

 

 

Dapatan indeks subkomposit kesejahteraan sosial pula,enam daripada sembilan komponen merekodkan pertumbuhan positif disumbangkan hiburan dan rekreasi (20.8%), kebudayaan (6.5%), alam sekitar (3.4%), perumahan (1.6%), kesihatan (1.3%) dan keluarga (0.8%). 

 

Komponen hiburan dan rekreasi meningkat dengan ketara berikutan fasa peralihan endemik yang berkuat kuasa dari April 2022 yang mana aktiviti pelancongan, hiburan dan rekreasi kembali rancak seperti keadaan sebelum pandemik.

 

Pada masa sama, tiga komponen IKRM menunjukkan penurunan iaitu keselamatan awam, tadbir urus dan penyertaan sosial. Indeks Keselamatan Awam merosot 9.4% kepada 126.1 mata pada 2022 berbanding 139.2 mata pada 2021. 

 

Penurunan itu disebabkan peningkatan bilangan kemalangan jalan raya berikutan pembukaan semula sempadan serta aktiviti ekonomi. 

 

Ia diikuti dengan komponen tadbir urus menurun 2.3% kepada 120.8 mata pada 2022 berbanding 123.7 mata pada 2021 terutamanya disebabkan penurunan peratusan kes rasuah didakwa, peratus pengguna e-filing dan peratus kes yang diselesaikan Biro Pengaduan Awam. 

 

Komponen penyertaan sosial juga merekodkan penyusutan 0.08% kepada 130.2 mata pada 2022 berbanding 130.3 mata pada 2021 susulan daripada penurunan keahlian RELA dan bilangan pertubuhan bukan bermotif keuntungan berdaftar.

 

Indeks Kesejahteraan Rakyat Negeri (IKRN) mengambilkira 14 komponen dan 63 indikator merangkumi 24 indikator ekonomi dan 39 indikator sosial. Secara keseluruhan, prestasi IKRN bagi kesemua negeri mencatatkan kenaikan mata indeks pada 2022. 

 

Tiga negeri yang mencatatkan mata indeks tertinggi ialah Perlis dengan 2.9 mata indeks kepada 115.2 mata pada 2022 berbanding 112.3 mata pada 2021, diikuti Sarawak 2.8 mata indeks kepada 119.5 mata pada 2022 berbanding 116.7 mata pada 2021 dan Perak 2.4 mata indeks kepada 118.5 mata berbanding  116.1 mata pada tempoh sama.

 

Dari segi subkomposit ekonomi, kesemua negeri merekodkan peningkatan mata indeks. Tiga negeri yang mencatatkan mata indeks tertinggi adalah Perlis dengan kenaikan 7.6 mata indeks kepada 123.5 mata pada 2022. 

 

Ia diikuti Sabah dan Perak masing-masing meningkat 5 mata indeks dan 4 mata indeks kepada 128.2 dan 128.9 mata pada tempoh yang sama. Ia didorong oleh pertumbuhan positif dalam komponen pendapatan dan pengagihan; pengangkutan dan pendidikan.

 

Dari perspektif subkomposit sosial, didapati 10 daripada 14 negeri menunjukkan peningkatan mata indeks. Tiga negeri yang mencatatkan mata indeks tertinggi adalah Sarawak dengan 2 mata indeks kepada 112.2 mata pada 2022, diikuti Wilayah Persekutuan meningkat 2 mata indeks kepada 111.1 mata. 

 

Seterusnya, Perak 1.2 mata indeks kepada 112.8 mata pada 2022. Penyumbang utama kepada kenaikan mata indeks di tiga negeri itu adalah komponen hiburan dan rekreasi dan komponen kebudayaan.

 

Ketersediaan statistik di peringkat nasional dan negeri memberi manfaat kepada kerajaan dalam menambahbaik dasar dan program serta keperluan sosioekonomi rakyat. 

 

Statistik IKRM itu amat diperlukan dalam mengarus perdana pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan menitikberatkan kesejahteraan rakyat. - DagangNews.com