Ketepikan perbezaan politik, tumpu COVID-19 dan tahap ekonomi rakyat, gesa DPMM | DagangNews Skip to main content

Ketepikan perbezaan politik, tumpu COVID-19 dan tahap ekonomi rakyat, gesa DPMM

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM)

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pemimpin parti politik digesa untuk melakukan genjatan politik dan menumpukan perhatian terhadap usaha menyelesaikan isu berkaitan COVID-19 dan ekonomi rakyat.

 

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, semua pemimpin parti perlu mengenepikan perbezaan politik yang ada memandangkan negara sedang berdepan pelbagai krisis.

 

"Statistik jangkitan COVID-19 pada hari ini masih berada di kedudukan yang kritikal.

 

"Diharapkan semua pemimpin politik berjiwa besar dan mengenepikan perbezaan politik buat sementara waktu dan bersatu hati membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memerangi penularan pandemik COVID-19 sehingga membolehkan sektor ekonomi dibuka seperti sediakala," katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Tambah beliau, pemimpin politik turut disarankan untuk menumpukan kepada usaha memulihkan segera tahap ekonomi rakyat terutamanya bagi golongan B40 dan M40.

 

Hal ini kerana, ramai rakyat yang bergelut dengan masalah aliran tunai akibat dibuang kerja disebabkan ada majikan yang terpaksa gulung tikar khususnya dalam kalangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati kadar pengangguran menjangkau seramai 742,700 orang atau pada pada kadar 4.6% pada April lalu.

 

Kaji selidik yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada Jun lalu menunjukkan lebih 90% usahawan mikro, kecil, sederhana dan informal atau tidak berdaftar berisiko untuk menutup perniagaan sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berterusan.

 

Susulan itu, pihaknya memberitahu, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menumpukan kepada strategi untuk keluar dari ancaman COVID-19 secara selamat dan sistematik adalah satu langkah yang patut disokong oleh semua pihak.

 

"DPMM juga menyokong usaha kerajaan meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi, dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.

 

"Sekali lagi kami ingin mengulangi gesaan kepada semua pemimpin parti politik supaya satu gencatan politik dapat dilakukan dengan serta merta supaya satu tempoh pemulihan yang bersepadu dapat dilaksanakan dengan berkesan," katanya lagi. - DagangNews.com