Keuntungan Axiata diramal menyusut kesan keganasan di Bangladesh - Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Keuntungan Axiata diramal menyusut kesan keganasan di Bangladesh - Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Keuntungan dan hasil Axiata Group Bhd berkemungkinan menyusut kesan protes besar-besaran di Bangladesh yang kini telah bertukar kepada keganasan pada minggu lalu.

 

Affin Hwang Capital berkata, Bangladesh merupakan antara pasaran utama kepada Axiata melalui Robi dan edotco.

 

Katanya, beberapa penganalisis menganggarkan kehilangan hasil selama seminggu daripada Robi mungkin melemahkan keuntungan bersih Axiata sehingga 3%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Bangladesh ialah pasaran penting untuk edotco, dengan kira-kira 50.4% daripada menara telekomunikasi kedua terletak di negara ini dan ia menyumbang kira-kira 29.7% daripada hasil syarikat itu pada 2023.

 

"Majoriti di Bangladesh ialah pasaran prabayar dengan ia menyumbang 98% daripada pelanggan mudah alih Robi.

 

"Penggantungan sementara perkhidmatan internet mudah alih mungkin melemahkan keuntungan jangka pendek Axiata," katanya dalam satu nota kajian.

 

Affin Hwang bagaimanapun, tidak menjangkakan penutupan sepenuhnya telekomunikasi di Bangladesh memberi kesan kepada hasil jangka pendek edotco kerana syarikat itu telah diberi jaminan dengan kontrak jangka panjang.

 

Mereka mengekalkan ramalan pendapatan Axiata untuk 2024 hingga 2026 tidak berubah buat masa ini, sementara menunggu kemas kini lanjut mengenai situasi di Bangladesh.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, pergolakan di Bangladesh adalah peringatan nyata terhadap risiko negara yang dikaitkan dengan pasaran sempadan yang dioperasikan Axiata.

 

Mereka mengurangkan harga sasaran (TP) kumpulan itu daripada RM2.85 sesaham kepada RM2.60 selepas menurunkan nilai perusahaan sasarannya dan gandaan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk Robi dan edotco.

 

Ia berdasarkan risiko dalam negara yang meningkat dan ketidaktentuan pasaran di sana.

 

Firma itu mengekalkan saranan "pegang" terhadap Axiata, kerana menjangkakan ketidaktentuan di Bangladesh dan kunci kira-kira beratnya akan menghadkan pemulihan harga saham selanjutnya. - DagangNews.com