KUALA LUMPUR 14 Ogos - KLCCP Stapled Group mencatatkan keuntungan bersih RM180.8 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), meningkat 9% daripada RM165 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.
Pendapatan kumpulan bagi suku berakhir 30 Jun 2023 ini juga meningkat 12.7% kepada RM394.6 juta berbanding RM350 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22).
Kumpulan tersebut mengisytiharkan dividen sebanyak 8.80 sen setiap sekuriti tercantum untuk suku dalam tinjauan, yang akan dibayar pada 27 September 2023.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), keuntungan bersih KLCCP Stapled Group telah meningkat 10.6% kepada RM361 juta berbanding RM326.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatannya adalah sebanyak RM775 juta, melonjak 15% daripada RM672 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Md. Shah Mahmood berkata pertumbuhan pendapatan kumpulan yang lebih tinggi telah disokong oleh prestasi portfolio yang berdaya tahan merentas semua segmen perniagaan, diterajui oleh segmen perkhidmatan hotel dan pengurusan.
“Susulan prestasi memberangsangkan pada suku pertama tahun ini, kami meneruskan tumpuan kami pada kecemerlangan operasi, memanfaatkan pemulihan pelancongan, aktiviti mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), peningkatan permintaan pengguna untuk acara dan iklim ekonomi yang bertambah baik,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
KLCCP Stapled Group berkata segmen hotelnya, yang diwakili oleh Mandarin Oriental, Kuala Lumpur terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan pendapatan 39.2% pada suku tersebut didorong oleh penghunian yang lebih tinggi.
Sementara itu, segmen perkhidmatan pengurusan yang terdiri daripada pengurusan kemudahan dan perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 43.7%.
Segmen runcit yang terdiri daripada Suria KLCC dan podium runcit Menara 3 Petronas pula mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 2.6%.
Menurut kumpulan itu, segmen pejabat kekal stabil, disokong oleh penyusunan Triple Net Lease (TNL) dan pajakan jangka panjang aset pejabatnya iaitu, Menara Berkembar Petronas, Menara 3 Petronas, Menara ExxonMobil dan Menara Dayabumi.
Mengulas mengenai prospek, KLCCP Stapled Group berkata ia menjangkakan momentum pertumbuhan positif akan berterusan ke suku berikutnya dengan kebangkitan semula aktiviti MICE, acara dan pelancongan domestik dan antarabangsa.
Tambahnya, ia kekal yakin untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran ke arah pertumbuhan yang mampan walaupun terdapat tekanan inflasi dan peningkatan kos, di samping menjangkakan prestasinya kekal stabil menjelang separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com