Keuntungan RM78 juta MAHB bagi 1QFY23 dalam jangkaan, MIDF Research semak naik pendapatan FY23-23 sebanyak 3% dan 2% | DagangNews Skip to main content

Keuntungan RM78 juta MAHB bagi 1QFY23 dalam jangkaan, MIDF Research semak naik pendapatan FY23-23 sebanyak 3% dan 2%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berjumlah RM78 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 merangkumi 22% daripada anggaran tahun penuh MIDF Research.

 

Susulan laporan kewangan 1QFY23 kumpulan itu, MIDF Research telah menyemak semula pendapatan tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-FY24) masing-masing sebanyak 3% dan 2% selepas mengemas kini angka yang telah diaudit.

 

 

BACA: MAHB catat untung bersih RM58.2 juta bagi suku kedua berturut-turut

 

 

Firma penyelidikan itu berkata pergerakan penumpang dijangka terus pulih memandangkan syarikat penerbangan semakin meningkatkan kapasiti mereka dan memperkenalkan laluan baharu.

 

Menurut firma itu, pergerakan penumpang dijangka pulih sebanyak 83% dalam 2023, manakala domestik pulih kepada 90% dan antarabangsa sebanyak 80%.

 

“Walaupun pemulihan trafik dari pasaran China masih di peringkat awal, ia telah mencapai 19% pada Mac 2023. MAHB mengunjurkan pemulihan kapasiti pasaran tersebut sekurang-kurangnya 60% menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, firma itu berkata perjanjian operasi (OA) baharu yang dinanti-nantikan itu dijadualkan muktamad dan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.

 

MAHB sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara bagi memperhalusi butiran OA baharu, manakala Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka mengeluarkan kertas perundingan ketiga dan terakhir dalam suku ketiga ini.

 

Firma itu berkata pemangkin peningkatan utama adalah pergerakan penumpang antarabangsa lebih tinggi daripada jangkaan di Turkiye, syarikat penerbangan tempatan membina semula armada mereka dan pemulihan pelancong China yang lebih cepat.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM7.45 sesaham daripada RM7.35.

 

Setakat pukul 10:15 pagi hari ini, saham MAHB telah menyusut 11 sen atau 1.6% kepada RM6.88 dengan modal pasaran berjumlah RM11.5 bilion. -DagangNews.com