Keuntungan sebelum cukai Maybank susut 6.6% kepada RM2.9 bilion pada 4QFY23  | DagangNews Skip to main content

Keuntungan sebelum cukai Maybank susut 6.6% kepada RM2.9 bilion pada 4QFY23 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM2.9 bilion dalam suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), menurun 6.6% berbanding RM3.5 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ini kerana kerugian rosot nilai bersih lebih tinggi sebanyak 37.8% kepada RM471.5 juta, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, keuntungan bersih kumpulan perbankan itu meningkat 8.3% pada suku dalam tinjauan kepada RM2.39 bilion daripada RM2.2 bilion.

 

Pendapatan faedah bersih turun 9.4% kepada RM3.18 bilion berbanding RM3.5 bilion setahun lalu, manakala pendapatan bukan faedah meningkat 5.4% kepada RM1.9 bilion daripada RM1.8 bilion.

 

Maybank turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 31 sen sesaham, menaikkan dividen setahun penuh kepada 60 sen sesaham, diterjemahkan kepada nisbah pembayaran sebanyak 77.4%.

 

Bagi tahun kewangan 2023 (FY23), keuntungan bersih kumpulan melonjak 17% kepada RM9.35 bilion daripada RM7.96 bilion setahun lalu. 

 

Pendapatan faedah bersih turun 7.4% kepada RM12.79 bilion disebabkan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi untuk deposit pelanggan, manakala pendapatan bukan faedah melonjak 38.3% kepada RM7.98 bilion didorong pendapatan pelaburan dan keuntungan kertas yang lebih tinggi.

 

Menurut Maybank, pertumbuhan pinjaman bank itu meningkat 9.2%, manakala akaun simpanan semasa (CASA) merosot 1.7%. Bagaimanapun, deposit tetap kumpulan itu naik 11.2% didorong pertumbuhan di Singapura dan Indonesia.

 

Susulan pulangan atas ekuiti (ROE) meingkat kepada 10.8% pada FY23, Maybank menyasarkan ROE 2024 pada 11%.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Khairussaleh Ramli berkata usaha bank itu dalam melaksanakan strategi M25+ telah membuahkan hasil yang positif.

 

Beliau berkata ini dibuktikan dengan penambahbaikan pengurusan kualiti aset dan pendapatan merentasi sektor dan pasarannya, sambil mengutamakan pengalaman pelanggan dan ekosistem penawaran holistik berasaskan nilai.

 

"Komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang kekal tidak berbelah bahagi apabila kami menyaksikan kemajuan ketara dalam memperdalam hubungan pelanggan, meningkatkan kepelbagaian hasil dan mengoptimumkan kecekapan operasi.

 

"Walaupun begitu, pelaburan strategik yang disasarkan akan diteruskan, bagi memastikan pemboleh dan keupayaan dapat menampung keperluan perniagaan dan operasi," tambahnya. - DagangNews.com