Kewangan sektor ‘tidak penting’ berisiko ekoran lanjutan PKP penuh - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Kewangan sektor ‘tidak penting’ berisiko ekoran lanjutan PKP penuh - CGS CIMB

SIDANG khas MKN memutuskan untuk melanjutkan 'lockdown' selama dua minggu lagi susulan kes harian masih melebihi 5,000. - Gambar Facebook MKN

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 14 Jun - Perniagaan-perniagaan dalam sektor perkhidmatan tidak perlu berisiko mencatatkan perolehan yang lebih lemah bagi keputusan kewangan suku kedua (2Q) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ dilanjutkan. 

 

Ini antaranya akan melibatkan pemain-pemain industri perjudian, runcit, kenderaan, amanah pelaburan hartanah (REIT), hartanah, pembinaan dan pelancongan, menurut CGS-CIMB Research. 

 

“Sektor-sektor yang kurang terjejas adalah berkaitan eksport (teknologi, pengeluar sarung tangan, petrokimia, perladangan) dan utiliti (termasuk Tenaga Nasional Berhad, telekomunikasi dan gas), di mana dibenarkan beroperasi semasa PKP,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian. 

 

Dalam satu kenyataan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk melanjutkan PKP 3.0 bagi tempoh dua minggu lagi bermula 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.

 

Baca : Sah, PKP 3.0 disambung hingga 28 Jun ini

 

Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 dengan purata kes baharu sehingga 11 Jun lalu adalah 6,871. 

 

Sementara itu, ketidaktentuan politik juga mendatangkan risiko buat ekonomi negara pada suku tahun semasa, berdasarkan langkah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua parti pada minggu lalu. 

 

Secara keseluruhannya, CGS-CIMB mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi sepanjang tahun ini pada kadar 4.4% yang mengambil kira ketiga-tiga fasa ‘lockdown’. 

 

Bagi perkembangan vaksin, Malaysia telah menerima sebanyak 7,575,609 dos melibatkan Pfizer-BioNTech, AstraZeneca-Oxford, dan Sinovac setakat 11 Jun lalu yang hanya merangkumi 11% daripada 69.6 juta jumlah dos vaksin yang ditempah. 

 

Malaysia juga hanya menerima 3,106,569 vaksin Sinovac, iaitu 26% daripada tempahan 12 juta dos oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Dalam masa sama, terdapat juga kemungkinan kelewatan dalam penghantaran pertama vaksin AstraZeneca-Oxford yang dikilangkan di Thailand. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu bahawa kerajaan sedang merangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19 pada satu peringkat yang munasabah.

 

Baca : Kerajaan rangka Pelan Pemulihan Negara sebagai persiapan keluar pandemik, kata PM

 

Pelan yang dibuat berdasarkan kepada data, sains dan segala persiapan yang telah dilakukan termasuk dari segi pengurusan COVID-19, ekonomi, program vaksinasi dan sebagainya itu, bakal dibentangkan kepada MKN dalam tempoh seminggu akan datang. - DagangNews.com