Penampilan sulung KGW Group di Papan ACE catat 23 sen, dengan premium 9.52% | DagangNews Skip to main content

Penampilan sulung KGW Group di Papan ACE catat 23 sen, dengan premium 9.52%

Datuk Roger Wong (tengah, kiri) dan Tengku Faizwa Tengku Razif (tengah, kanan) bersama pengurusan KWG Group pada majlis penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - KGW Group Berhad membuat penampilan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 sen sesaham, premium 2 sen atau 9.52% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 21 sen.

 

Kumpulan itu menjadi kaunter paling aktif dengan dagangannya melonjak kepada 117.94 juta saham, manakala harga sahamnya meningkat lagi sebanyak 2.5 sen atau 11.90% kepada 23.5 sen.

 

Menurut prospektusnya, penyedia perkhidmatan pengangkutan itu pada masa ini tidak mempunyai dasar dividen.

 

Kumpulan itu disokong oleh tiga anak syarikat, iaitu KGW Logistics (M) Sdn. Bhd., Mattroy Logistics (Malaysia) Sdn. Bhd. dan KGW Medica Sdn. Bhd.

 

KGW Logistics memberi tumpuan kepada kargo perkapalan ke dan dari Amerika Syarikat, yang merupakan pasaran terbesar KGW manakala Mattroy Logistics mengendalikan penghantaran ke dan dari rantau lain di dunia. 

 

kgw

 

Sementara itu, KGW Medica mengkhusus dalam pergudangan dan pengedaran produk dan peranti berkaitan penjagaan kesihatan.

 

Kumpulan itu mengumpul RM16.73 juta melalui IPO degan RM10 juta diperuntukkan untuk membayar balik pinjaman bank berhubung pembelian bangunan pejabat tiga tingkat pegangan bebas dengan gudang dua tingkat yang terletak di Glenmarie manakala RM2 juta untuk pengubahsuaian. 

 

Sejumlah RM730,000 daripada hasil itu akan digunakan untuk tujuan modal kerja manakala baki RM4 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian. 

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KGW, Tengku Faizwa Binti Tengku Razif berterima kasih kepada keseluruhan pasukan KGW kerana berjaya membawa kumpulan itu untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

"Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada pelanggan, rakan niaga dan pembekal yang telah menyokong kami selama ini," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan KGW, Datuk Roger Wong berkata, penyenaraian itu merupakan satu pencapaian penting.

 

"Melalui penyenaraian ini, kami bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami, tetapi akan terus membina apa yang kami ada untuk membawa lebih banyak nilai kepada pihak berkepentingan kami," katanya.

 

Dua firma penyelidikan yakin dengan prospek KGW, dengan RHB Investment menetapkan nilai saksama (FV) sebanyak 23 sen, premium 9% daripada harga IPO, mewakili gandaan P/E sebanyak 12.2 kali kepada tahun kewangannya yang berakhir pada FY24.

 

Sementara itu, Public Investment Bank memperuntukkan FV lebih tinggi sebanyak 24 sen, berdasarkan gandaan P/E lapan kali ganda kepada pendapatan sesaham (EPS) FY2024 sebanyak tiga sen.

 

TA Securities Holdings Berhad merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO ini. - DagangNews.com