Kilang Unisem di Ipoh sekali lagi ditutup sementara | DagangNews Skip to main content

Kilang Unisem di Ipoh sekali lagi ditutup sementara

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengarahkan Unisem (M) Berhad untuk menutup kilangnya yang terletak di Ipoh, Perak selama tujuh hari bermula 8 September hingga 15 September 2021. 

 

Dalam maklumannya di Bursa Malaysia, Unisem dijangka menyaksikan kerugian pengeluaran 2% daripada jumlah pengeluaran tahunan kumpulan ekoran penutupan tersebut. 

 

“Kami menjangkakan jualan dan pengeluaran di kilang Ipoh akan terus terjejas teruk dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana jumlah staf yang terhad sehingga pandemik ini berkurangan dengan ketara,” jelas kumpulan. 

 

Pada Julai lalu, penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor global itu menutup sementara kilangnya yang terletak di Ipoh susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

 

Ini seiring pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 24 Julai 2021 berhubung pelaksanaan PKPD di Bandar Pulai Jaya bermula 26 Julai hingga 8 Ogos 2021.

 

Baca : Kilang Unisem di Ipoh ditutup sementara sebab PKPD

 

Unisem juga mendedahkan bahawa kumpulan telah cuba untuk mendapatkan vaksinasi buat pekerjanya di kilang tersebut sejak Jun 2021, namun tidak berjaya. 

 

Menerusi inisiatif swasta, Unisem menjelaskan program vaksinasi besar-besaran telah dijalankan pada 1 hingga 3 September lalu. 

 

Ini menyaksikan kebanyakan pekerja, jurutera dan kontraktor kumpulan yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan, keselamatan dan pembersihan di kilang tersebut telah menerima suntikan dos pertama. 

 

“Keselamatan dan kesejahteraan pekerja kami dan komuniti tempatan menjadi keutamaan utama. 

 

“Kami akan terus kekal dan mematuhi langkah pencegahan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dan ketat bagi mengurangkan penularan COVID-19,” jelas Unisem lanjut. - DagangNews.com

 

 

TERKINI 9 SEPT 2021 : Unisem tutup kilang lagi, pengeluaran dijangka terus terjejas - CGS CIMB