KLCI bergelut lepasi paras 1,600 mata | DagangNews Skip to main content

KLCI bergelut lepasi paras 1,600 mata

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - Pasaran tempatan petang ini melonjak kepada 1,600.59 mata setelah indeks utama FBM KLCI ditutup 1.37% atau 21.68 mata lebih tinggi. 

 

Ia menyaksikan 6.3 bilion saham diniagakan bernilai RM3.6 bilion dalam dagangan hari ini. 

 

Keseluruhan pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi pada 590 berbanding 440 manakala 464 kaunter tidak berubah. 

 

Terdapat beberapa petunjuk positif terutama Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 6.5% tahun ini.

 

Malah, badan dunia itu juga mengekalkan unjuran pertumbuhan global pada 6% tahun ini berbanding 5.5% sebelum ini dengan sebahagian besarnya merujuk kepada pemulihan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan perbelanjaan awam. 

 

Menurut Reuters, pelabur juga membuat jangkaan semula mengenai tempoh yang diambil Rizab Persekutuan AS untuk mengetatkan dasar, beralih daripada sebulan setengah kenaikan hasil bon dan dolar AS yang didorong oleh pasaran kewangan yang menjangkakan bank pusat akan mengabaikan pendiriannya terhadap pemulihan ekonomi yang pantas.  

 

Rizab Persekutuan AS sebelum ini berikrar tidak akan menaikkan kadar faedah sehingga 2024 manakala sebarang petunjuk akan mengurangkan minat pelabur terhadap mata wang dan pasaran bon Asia yang lebih tinggi. 

 

Malacca Securities Sdn. Bhd. menjelaskan FBM KLCI mungkin terus kekal dalam aliran tidak banyak berubah susulan ketiadaan petunjuk pasaran yang signikan justeru mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman di Wall Street.

 

Katanya, indeks barometer bursa tempatan cenderung lebih rendah sejajar dengan kebanyakan bursa serantau. 

 

"Berdasarkan petunjuk teknikal berubah menjadi negatif, kami menjangkakan rintangan pada 1,600 hingga 1,625 mata manakala sokongan ditetapkan pada 1,550 hingga 1,560 mata," jelasnya.

 

Bagi pasaran kewangan, petang ini ringgit ditutup pada RM4.1320/1350 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan semalam pada RM4.1300/1330. - DagangNews.com