KLCI dibuka hampir tidak berubah, saham Top Glove, Kossan, Supermax sebaliknya rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI dibuka hampir tidak berubah, saham Top Glove, Kossan, Supermax sebaliknya rugi

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Indeks utama pasaran ekuiti Malaysia dibuka hampir tidak berubah pagi ini, hanya mampu menokok 0.15 selepas menjunam ke paras terendah sejak Mei 2020 pada penutupan semalam, 1,493.00 mata.

 

Namun, selepas 2 minit didagangkan iaitu setakat 9.02 pagi, FBM KLCI terus meningkat 2.53 mata atau 0.17% untuk berehat sebentar di paras 1,495.53.

 

Saham Fitters Diversified Berhad mendahului kaunter paling aktif diniagakan, dibuka pada kadar 37 sen, menokok 1 sen daripada penutupan petang semalam. 

 

Turut mencuri tumpuan pelabur pada pagi ini adalah saham Greenyield Berhad yang melonjak 0.05 sen kepada 0.385 sen setakat 9.06 pagi. 

 

Ini diikuti oleh saham Permaju Industries Berhad, Emico Holdings Berhad, YGL Convergence Berhad, YLI Holdings Berhad, dan Connectcounty Holdings Berhad di mana masing-masing menyaksikan prestasi dagangan positif. 

 

Dalam kalangan kaunter untung, saham Genetec Technology Berhad masih menjadi pilihan utama pelabur apabila harga sahamnya meningkat 64 sen setakat 9.16 pagi, untuk mencecah paras RM23.40. 

 

Selain Genetec, Malaysian Pacific Industries Berhad mencatatkan lonjakan kedua tertinggi pada pagi ini, dengan harga sahamnya meningkat 42 sen setakat 9.17 pagi kepada RM45.98.

 

Turut merasai impak positif itu adalah saham Pecca Group Berhad, Vitrox Corporation Berhad, KESM Industries Berhad, Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad dan Unisem (M) Berhad.

 

Saham Classic Scenic Berhad sebaliknya berada di kedudukan tercorot apabila harga sahamnya menyusut 8 sen kepada 71 sen setakat 9.20 pagi. 

 

Tiga saham utama kaunter sarung tangan getah, Top Glove Corporation Berhad, Kossan Rubber Industries Berhad dan Supermax Corporation Berhad turut menonjolkan prestasi negatif, masing-masing menyusut 9 sen, 6 sen dan 8 sen setakat 9.21 pagi. 

 

Data-data ekonomi termasuk Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang menjadi kayu ukur sektor pembuatan menunjukkan prestasi lemah, ditambah ketidakstabilan politik dan kes COVID-19 yang masih tinggi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur. 

 

Secara keseluruhannya, dagangan pada pagi ini berprestasi agak negatif, apabila jumlah kaunter rugi, iaitu 251 mendahului jumlah kaunter untung sebanyak 223. 

 

Kaunter penjagaan kesihatan, tenaga, utiliti dan pembinaan menjadi faktor utama yang mengheret pergerakan negatif dagangan pada pagi ini. - DagangNews.com