KUALA LUMPUR 14 April - Pasaran tempatan mengukuh petang ini tetapi dalam pergerakan yang kecil, dengan indeks utama FBM KLCI meningkat 0.57 mata kepada 1,598.28 mata.
Ia menyaksikan 5.91 bilion saham diniagakan bernilai RM2.99 bilion.
Keseluruhan pasaran juga hampir seimbang tetapi kaunter rugi mengatasi untung pada 510 berbanding 502 manakala 476 kaunter tidak berubah.
Malacca Securities Sdn. Bhd. dalam nota kajian berkata, pasaran tempatan mungkin akan terus didagangkan dalam mod negatif, kerana kekurangan pemangkin baharu.
"Indeks utama mungkin diniagakan tidak berubah, dan ia sepatutnya menokok melepasi paras 1,600 mata, dengan paras rintangan ditambat pada 1,615 dan 1,635 mata manakala paras sokongan pada 1,575 mata," katanya.
Menurut Reuters, pasaran saham global mencapai paras tertinggi pada Rabu apabila hasil bon susut selepas data Amerika Syarikat (AS) menunjukkan inflasi tidak meningkat ketika ekonomi dibuka semula.
Malah, kebanyakan pasaran saham di Asia Pasifik menjejaki kenaikan Wall Street dengan Hong Kong menerajui kenaikan di rantau ini apabila penanda aras hasil perbendaharan AS terus menurun, ke paras terendah 3 minggu.
Sementara itu, bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup pada RM4.1250/1290 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan semalam, RM4.1340/1360.
Ini berikutan dolar AS susut kepada paras terendah dalam tempoh 3 minggu pada Selasa selepas pergerakan yang baik dalam data inflasi AS bagi Mac 2021 gagal menggerakkan langkah normalisasi dasar Rizab Persekutuan AS. - DagangNews.com