KLCI kembali cecah paras rintangan 1,500, Hartalega pula berakhir di kaunter rugi | DagangNews Skip to main content

KLCI kembali cecah paras rintangan 1,500, Hartalega pula berakhir di kaunter rugi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Indeks utama di pasaran ekuiti Malaysia tidak menghiraukan kemerosotan di kebanyakan pasaran Asia pada petang ini, sebaliknya FBM KLCI kembali ditutup melepasi paras rintangan 1,500. 

 

Pada penutupan 5 petang, FBM KLCI berjaya melonjak 7.26 mata untuk berakhir pada paras 1,500.26 selepas menjunam kepada 1,493.00 mata, paras yang ditutup pada petang semalam. 

 

Menurut Trading Economics, bursa-bursa utama di Asia merosot susulan pelabur bimbang terhadap varian Delta COVID-19 dan kesannya ke atas ekonomi global dengan Nikkei 225 mendahului kerugian tersebut apabila menyusut 0.5%.

 

Dalam kalangan kaunter rugi di FBM KLCI, keuntungan berlipat kali ganda yang dicatatkan Hartalega Holdings Berhad pada suku pertama berakhir 30 Jun 2021 tidak berjaya melonjakkan harga sahamnya pada penutupan petang ini. 

 

Sebaliknya, harga saham pengeluar sarung tangan getah itu menyusut 23 sen kepada RM6.80, sekali gus berakhir di kedudukan keempat tercorot dalam dagangan hari ini.

 

Baca : Hartalega nikmati 'durian runtuh', untung bersih melonjak 9 kali ganda

 

Mendahului kaunter tersebut adalah saham KESM Industries Berhad yang tidak dapat mempertahankan kedudukannya dalam kaunter untung pada pembukaan pagi ini, apabila ditutup 64 sen lebih rendah kepada RM13.34. 

 

Ini diikuti oleh saham Fraser & Neave Holdings Berhad, Heineken Malaysia Berhad, Yinson Holdings Berhad dan Ajinomoto (Malaysia) Berhad.

 

Sementara, saham Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) berakhir dengan keuntungan tertinggi di mana harga sahamnya melonjak 64 sen pada penutupan petang ini kepada RM19.30. 

 

Turut merasai impak itu adalah saham Nestle (Malaysia) Berhad yang berakhir 40 sen lebih tinggi kepada RM133.70.

 

Saham Serba Dinamik Holdings Berhad sebaliknya terus rancak diniagakan, sekali gus berakhir 0.25 sen lebih tinggi kepada 40.5 sen.

 

Ini diikuti oleh Saudee Group Berhad dan Kanger International Berhad yang berakhir negatif, masing-masing menyusut 0.15 sen dan 0.05 sen.

 

Dagangan pada petang ini berprestasi agak negatif apabila jumlah kaunter rugi iaitu 494 hanya mendahului 21 kaunter berbanding jumlah kaunter untung. 

 

Lonjakan indeks utama pada penutupan petang ini diheret naik oleh kaunter perladangan dan amanah pelaburan hartanah (REIT). - DagangNews.com