KLCI merosot sehingga lebih 20 mata, hanya 194 kaunter untung | DagangNews Skip to main content

KLCI merosot sehingga lebih 20 mata, hanya 194 kaunter untung

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Pasaran saham tempatan menutup dagangan pada hari ini dengan kemerosotan teruk seiring penyusutan pasaran global, terutamanya diheret turun oleh kaunter tenaga. 

 

Indeks penanda aras, FBM KLCI tersungkur 20.62 mata kepada 1,527.89 daripada penutupan pada petang Jumaat lalu, 1,548.51 dengan 4.69 bilion saham didagangkan. 

 

Petang ini, FBM KLCI berakhir dengan hanya 194 kaunter untung, berbanding 951 kaunter rugi dengan 358 kaunter tidak berubah dan 772 lagi tidak didagangkan. 

 

Kemerosotan indeks penanda aras utama itu mungkin disebabkan oleh aktiviti pemburuan saham murah, seperti mana diramalkan oleh Malacca Securities Sdn Bhd.

 

“Bursa tempatan mungkin menyaksikan aktiviti pemburuan saham murah ekoran kes COVID-19 harian mula menurun, sementara menunggu kadar inflasi Malaysia yang akan diterbitkan pada Jumaat ini. Para pelabur dijangka menumpukan saham pengangkutan dan logistik ketika trend Indeks Kering Pertukaran Baltik meningkat. 

 

“Selain itu, kes COVID-19 yang menurun dilihat baik untuk sektor-sektor pemulihan seperti pengguna, pelancongan dan pembinaan serta bahan pembangunan yang terpilih. 

 

“Sementara, sektor teknologi masih kelihatan menarik kerana minat membeli masih lagi tinggi walaupun sentimen pasaran secara luasnya lebih lemah,” jelas firma itu dalam nota penyelidikannya.

 

Seiring ramalan Malacca Securities berhubung sentimen saham teknologi semakin lemah, saham Genetec Technology Berhad mendahului kaunter paling rugi dengan kemerosotan RM1.82 untuk ditutup pada paras RM34.20. 

 

Impak negatif itu turut dirasai oleh saham Malaysian Pacific Industries Berhad yang berakhir 70 sen kepada RM44.20.

 

Turut mencatatkan kerugian pada penutupan dagangan petang ini adalah saham Fraser & Neave Holdings Berhad, Petronas Gas Berhad, Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad, SAM Engineering & Equipment (M) Berhad, Widetech (Malaysia) Berhad dan Heineken Malaysia Berhad.

 

Saham PMB Technology Berhad sebaliknya mendahului kaunter untung dengan lonjakan 25% atau RM1.86 kepada RM9.30. 

 

Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan pula, saham Pasukhas Group Berhad berakhir 2.5 sen lebih rendah kepada 9 sen dengan 1.68 juta saham bertukar tangan. 

 

Turut aktif didagangkan adalah saham Kanger International Berhad yang berakhir tidak berubah dan diikuti oleh Emico Holdings Berhad, Dagang Nexchange Berhad dan Yong Tai Berhad di mana masing-masing ditutup 12 sen, 4 sen dan 4 sen lebih rendah. - DagangNews.com