TIDAK dinafikan bahawa isu berkaitan kemampanan alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG) merupakan antara topik perbincangan paling hangat dalam dunia perniagaan global hari ini pasca-COVID.
Menurut laporan Tinjauan Pertengahan Tahun ESG 2021 Bloomberg Intelligence (BI), aset ESG kini berada di landasan melebihi AS$50 trilion (RM220.5 trilion) menjelang 2025, meningkat daripada AS$35 trilion (RM154.3 trilion) pada 2020.
Secara ringkas, ESG merupakan dokumentasi komitmen sebuah syarikat tentang bagaimana ianya beroperasi dan membuat keputusan berkaitan moral dan etika.
ESG juga melihat bagaimana pelbagai pemegang taruh yang berkaitan dengan syarikat tersebut dilayan termasuk para pelabur, warga kerja, serta rantaian pembekal seperti vendor dan kontraktor. Tidak lupa juga komuniti sekeliling tempat perniagaan itu beroperasi.
Persoalan yang sering diperdebatkan dalam kalangan pemain industri adalah sejauh mana kita dapat menentukan dan menilai tata kelola dalam ESG? Bagaimanakah usaha-usaha anti-rasuah diserapkan dalam rangka kerja ESG? Dan bolehkah sesebuah syarikat atau pelaburan dianggap "mampan" jika integriti korporat diabaikan?
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift, Syarikat Senaraian Awam (PLC) perlu menangani kebimbangan yang kritikal berkaitan ESG yang memberi kesan kepada operasi perniagaan mereka serta kemakmuran jangka masa panjang.
Tambah beliau, kegagalan untuk memenuhi pematuhan ESG boleh mengakibatkan kerosakan reputasi dan kepercayaan yang boleh menjejaskan kredibiliti sesebuah syarikat.
Malah penekanan terhadap agenda ESG akan lebih bermakna jika kepimpinan sesebuah syarikat atau organisasi komersial mempertimbangkan tata kelola ESG yang mampan dan integriti korporat sebagai asas yang penting.
Ini bermakna, amalan perniagaan sesebuah syarikat mestilah beretika, telus dan bertanggungjawab.
Pelabur dan pemegang taruh perlu tahu bahawa keuntungan jangka panjang atau kelestarian perniagaan hanya akan dapat tercapai jika sesebuah organisasi komersial memberi penekanan kepada aspek ESG.
Malah para pelabur akan menjauhkan diri jika sesebuah organisasi komersial mempunyai risiko yang tinggi dalam ESG.
Sesungguhnya, tata kelola manusia dan tata kelola korporat mestilah seiring. tata kelola manusia merujuk kepada cara kita mengukuhkan nilai moral dalam diri individu, yang merangkumi prinsip moral seperti rajin, jujur dan amanah.
Tata kelola korporat pula melihat sejauh mana tata kelola dibangunkan, dilaksanakan, dikuatkuasakan dan dinilai.
Tata kelola yang baik boleh diukur dengan mengaplikasikan sistem pengurusan yang sesuai seperti Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).
Secara asasnya, tata kelola dan sistem pengurusan saling bergantung. Tata kelola yang baik bergantung kepada kualiti individu yang unggul. Jika sistem pengurusan baik, tetapi kakitangannya tidak mengamalkan prinsip integriti, maka akan timbul isu salah laku dan sebagainya.
Begitu juga jika tiada sistem pengurusan, dan hanya bergantung kepada integriti individu, lama kelamaan, ia mengundang salah laku dan pelanggaran integriti.
Dalam hal ini, akan ada godaan untuk melakukan kesalahan jika tiada kawalan dalaman dan tata kelola yang kukuh.
Justeru, tata kelola korporat yang berpaksikan integriti adalah asas dalam memastikan keghairahan terhadap ESG dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit dan masa depan yang mampan.
Berkaitan itu, Lembaga Pengarah dan Pengurusan bagi sesebuah syarikat harus mematuhi piawaian ESG dalam proses membuat keputusan dengan memastikan undang-undang, peraturan dan dasar yang berkaitan antirasuah, integriti dan tata kelola diberi keutamaan dan dipatuhi.
Sebagai contoh, adalah penting bagi sesebuah syarikat mematuhi Seksyen 213 Akta Syarikat 2016, dan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 19 September 2022, peranan Institut Integriti Malaysis (IIM) kini diperkukuhkan berdasarkan tiga fungsi teras utama merangkumi aspek Pendidikan, Advokasi dan Latihan; Penyelidikan dan Penerbitan; serta Kerjasama Strategik.
IIM juga diberi peranan melaksanakan model perniagaan secara hibrid untuk membantu bukan sahaja sektor awam malah organisasi komersial dalam meningkatkan integriti dan tata kelola melalui produk-produk perkhidmatan yang disediakan oleh IIM.
Antara produk IIM yang paling sesuai dalam membantu syarikat-syarikat mematuhi piawaian yang berkaitan tata kelola dalam ESG adalah perkhidmatan konsultasi bagi pembangunan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), serta Latihan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 & Tatacara Mencukupi, dan latihan berkaitan Etika & Integriti (E&I).
Justeru, pemain industri disaran untuk menambah baik strategi pelaksanaan ESG khususnya dalam konteks tata kelola melalui Pensijilan ISO 37001:2016 agar dapat mewujudkan rangka kerja proses perniagaan yang mampan seterusnya meningkatkan integriti dan tata kelola di sesebuah organisasi.
IIM turut merangka pelbagai inisiatif dalam menyebar luas agenda ESG. Antaranya menerusi kerjasama strategik bersama AEON Co. (M) Berhad untuk membangunkan serta menerapkan elemen integriti di dalam Agenda Kelestarian AEON.
Di samping itu, IIM juga sedang menjalinkan kerjasama strategik dengan Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) terutama berkaitan penglibatan NIOSH dalam penganjuran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2023 (AIGA 2023); pembangunan dan pelaksanaan modul kesedaran integriti dan tata kelola di dalam kursus-kursus anjuran NIOSH; serta pelaksanaan Kursus Seksyen 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi secara berkala oleh IIM.
Terbaharu IIM dengan kerjasama Persatuan Pengamal Sistem Pengurusan Antirasuah Malaysia (ABMS-MY) akan menganjurkan Forum Sistem Pengurusan Integriti yang bertemakan “Kelestarian Organisasi Melalui Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS): Dahulu, Kini dan Seterusnya” pada 14 Februari 2023.
Agenda ESG dapat dipertingkat sekiranya semua pihak amnya sektor awam dan swasta memberi perhatian dan bertindak sewajarnya terhadap pengamalan ESG.
Komitmen berterusan dan kerjasama strategik yang dibangunkan IIM diharap berupaya memacu agenda ESG, seterusnya melahirkan warga kerja yang bertanggungjawab dalam merealisasikan tahap integriti dan tata kelola terbaik di Malaysia. - DagangNews.com