Konsep mesra pelabur beri impak besar kepada Kedah – MB | DagangNews Skip to main content

Konsep mesra pelabur beri impak besar kepada Kedah – MB

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengadakan lawatan kerja ke Greennovo Enviromental Technology di wilayah Yunnan, China semalam. [Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Konsep mesra pelabur yang diamalkan kerajaan Kedah memberi impak yang cukup besar dalam menarik pelaburan yang begitu tinggi ke negeri itu sejak tiga tahun lepas.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata menerusi konsep itu, Kedah mencapai nilai pelaburan mengatasi sasaran tahunan RM10 bilion bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2021.

 

“Kerajaan negeri komited untuk memudah cara sebarang urusan di bawah kuasanya dalam setiap proses yang perlu dijalani oleh pelabur.

 

“Meskipun tertakluk kepada prosedur dan peraturan sedia ada, kerajaan negeri menerusi agensinya seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengamalkan konsep mesra pelabur bagi mempermudah urusan, sekali gus menjimatkan masa dan kos pelabur, asalkan semua peraturan dipatuhi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Kedah hari ini.

 

 

[Foto UDPA]
Delegasi Kerajaan Negeri Kedah menyertai “China-Malaysia Environmental Protection Solid Waste Management and Technology Conference” di University of Science & Technology Kunming.

 

 

Muhammad Sanusi telah mengetuai delegasi pelaburan Kedah berkunjung ke Greennovo Enviromental Technology Co Ltd di Bandar Gejiu, wilayah Yunnan, China, semalam.

 

Turut menyertai beliau adalah anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah dan Wong Chia Zen, serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Datuk Elmi Yusoff.

 

Juga bersama adalah Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Shahab serta wakil-wakil daripada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan agensi-agensi bawah Kerajaan Negeri.

 

 

delegasi Kerajaan Negeri Kedah diketuai Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor menyertai “China-Malaysia Environmental Protection Solid Waste Management and Technology Conference” di University of Science & Technology Kunming.
[Foto UPDA]

 

 

Greennovo ialah pengeluar produk berasaskan keluli daripada jenis zink dan mempunyai lebih 20 kilang di serata dunia antaranya di Mesir, Vietnam, Laos dan Thailand.

 

Di Malaysia, Greennovo melalui syarikat kerjasama, Xin Sheng Environmental (M) Sdn Bhd menjalankan aktiviti pengeluaran produk zinc oxide recovery di Kawasan Perindustrian Padang Meha, Kulim di Kulim, Kedah.

 

Pengerusi Greennovo, Leon Ma dalam kenyataan sama berkata, sebagai prospek masa hadapan, syarikat itu melalui Xin Sheng bercadang untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

Pusat R&D itu akan berkonsepkan hijau dan Malaysia antara negara yang dipertimbangkan sebagai lokasinya, katanya. - DagangNews.com