Kos bahan mentah tinggi, margin keuntungan sebelum cukai MGB merosot 14% - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Kos bahan mentah tinggi, margin keuntungan sebelum cukai MGB merosot 14% - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Margin keuntungan sebelum cukai MGB Berhad merosot sebanyak 14% dari suku tahun ke suku tahun kesan daripada kos bahan mentah yang lebih tinggi.

 

Public Investment Bank Research berkata, konkrit campuran mencatatkan kenaikan harga sebanyak 6% berbanding suku sebelumnya dan keadaan bertambah sukar dengan kos kewangan lebih tinggi iaitu peningkatan sebanyak 15.7% dari suku tahun ke suku tahun.

 

"Selain itu, suku tersebut juga mencatatkan sumbangan keuntungan yang lebih rendah iaitu penyusutan 46.1% dari suku tahun ke suku tahun daripada syarikat bersekutunya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu keuntungan meningkat sebanyak 65.4% daripada RM101.26 juta berikutan peningkatan yang diperoleh daripada segmen pembinaan dan disokong dengan peningkatan keuntungan daripada segmen pembangunan hartanahnya.

 

Segmen pembinaan dan perdagangan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keuntungan kumpulan.

 

Segmen pembangunan hartanah meningkat enam kali ganda didorong oleh pelancaran projek baharu seperti Idaman Melur, Idaman Cahaya Fasa 1 dan 2, Idaman Sari dan Pangsapuri Saujana Indah.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2023, keuntungan MGB meningkat sebanyak 42.7% kepada RM666.5 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat sedikit kelewatan dari segi penambahan kerja, mereka menjangkakan satu atau dua kejayaan meraih projek menyumbang kira-kira RM300 juta kepada kumpulan menjelang hujung FY23.

 

Mengenai usaha niaga Arab Saudinya, PublicInvest menjangkakan anugerah kontrak pertamanya menjelang 1QFY24, kemajuan semasa dalam menaik taraf kilang mencapai 45%.

 

"Bagi segmen hartanahnya, kumpulan akan melancarkan projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM107 di Cameron Highland pada 2QFY24," katanya. - DagangNews.com