Kossan, Supermax, Hartalega kuasai kaunter untung, Genetec kembali diniagakan lemah | DagangNews Skip to main content

Kossan, Supermax, Hartalega kuasai kaunter untung, Genetec kembali diniagakan lemah

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Dagangan pagi ini bermula lemah apabila indeks utama, FBM KLCI dibuka rendah pada 1,511.43 mata setelah susut 3.17 mata. 

 

Semalam, pasaran tempatan ditutup tinggi pada 1,514.60 mata didorong oleh kegiatan membeli ketika harga saham murah meskipun terdapatnya sentimen bercampur-campur dalam persekitaran pasaran serantau.

 

Malacca Securities Research dalam nota kajian berkata, pelabur kini mula mengalih tumpuan mereka kepada kadar vaksinasi berbanding kepada kes jangkitan harian yang tinggi. 

 

"Namun begitu, pasaran tempatan masih kekal membimbangkan ekoran prestasi negatif di China dan Hong Kong selepas Beijing mengumumkan langkah tambahan bagi sektor teknologi, pendidikan dan hartanah," katanya  hari ini.

 

Bagi pasaran tempatan, saham pengeluar sarung tangan getah menguasai sebahagian besar kaunter untung yang menyaksikan Kossan Rubber Industries Bhd. diniagakan 14 sen lebih tinggi kepada RM3.43. 

 

Kossan merekodkan prestasi kewangan yang kukuh bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 dengan untung bersihnya melonjak kepada RM1.06 bilion manakala pendapatan juga meningkat kepada RM2.2 bilion.

 

Ini diikuti dengan saham Supermax Corp. Bhd. menokok 13 sen kepada RM3.47 manakala Hartalega Holdings Bhd. naik 11 sen kepada RM7.41.

 

Careplus Group Bhd. juga menokok 0.05 sen kepada RM1.88 diikuti Top Glove Corp. Bhd. naik 0.05 sen kepada RM4.05.

 

Sebaliknya, Genetec Technology Bhd. muncul antara saham yang mencatat kerugian pagi ini dengan susut 24 sen kepada RM20.10.

 

Semalam, saham syarikat teknologi ini melepasi paras RM20 menjadikan permodalan pasaran syarikat melebihi RM1 bilion buat kali pertama apabila para pelabur melihat ia sebagai syarikat yang akan meraih manfaat dalam pasaran kenderaan elektrik.

 

Selain itu, dagangan kaunter rugi turut menyaksikan Nestle (Malaysia) Bhd. diniagakan pada RM133 setelah susut 80 sen diikuti PPB Group Bhd, susut 22 sen kepada RM18.18.

 

Untuk dagangan kaunter aktif pula, saham Artoniq Bhd mendahului dagangan dibuka tinggi pada 50 sen setelah menokok 0.95 sen. 

 

Ini diikuti dengan saham PUC Bhd. menokok 0.005 sen kepada kepada 18.5 sen manakala MAG Holdings Bhd. naik 0.005 sen kepada 20.5 sen. 

 

Setakat 9.40 pagi ini, kaunter untung mengatasi rugi pada 269 berbanding 232 manakala 347 kaunter tidak berubah. - DagangNews.com