KPJ Healthcare, Mayo Clinic meterai kerjasama memperkasa kepakaran, kemahiran pengamal perubatan  | DagangNews Skip to main content

KPJ Healthcare, Mayo Clinic meterai kerjasama memperkasa kepakaran, kemahiran pengamal perubatan 

Datuk Seri Dr Dzulkefly (tengah) bersama (dari kiri) Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Chin Keat Chyuan, Dr Stacey Rizza Datuk Md Arif Mahmood di majlis pelancaran kerjasama KPJ Healthcare dan Mayo Clinic di Kuala Lumpur pada 16 Februari 2024. [Foto DagangNews/Diyana Isamudin]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - KPJ Healthcare Berhad memeterai kerjasama strategik dengan Mayo Clinic Care Network untuk memperkasakan kepakaran dan kemahiran pengamal perubatan di rangkaian hospitalnya.

 

Kerjasama KPJ Healthcare dengan organisasi yang mempunyai lebih 45 ahli berpangkalan di Amerika Syarikat, Asia, India, Mexico dan Timur tengah itu turut menetapkan standard baharu dalam landskap sektor penjagaan kesihatan di negara ini.

 

Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kerjasama dijalin antara penyedia penjagaan kesihatan swasta itu dan Mayo Clinic menjadikan ia rangkaian hospital pertama dan satu-satunya di Malaysia yang disenaraikan sebagai ahli organisasi tersebut, menerusi dua hospital pakarnya, KPJ Damansara Specialist Hospital (KPJ DSH) dan Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2).

 

“Pencapaian ini merupakan satu anjakan besar bagi kami menerajui kecemerlangan perubatan kerana kami sentiasa berusaha untuk meneroka pendekatan yang inovatif demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit,” ujar beliau pada majlis pelancaran kerjasama KPJ Healthcare dan Mayo Clinic di DSH2 di sini hari ini.

 

Majlis pelancaran kerjasama itu telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation Berhad, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Pengarah Perubatan Eksekutif Mayo Clinic Bahagian Amalan Antarabangsa dan Asia Pasifik, Dr Stacey Rizza dan Pengerusi KPJ Healthcare, Datuk Md Arif Mahmood.

 

Chin menekankan bahawa KPJ Healthcare berhasrat untuk memanfaatkan pengalaman, sumber dan amalan terbaik Mayo Clinic dalam meningkatkan kepakaran dan kemahiran pengamal perubatan di rangkaian hospitalnya. 

 

“Kami yakin bahawa strategi ini bukan sahaja hanya akan meningkatkan hasil dan kualiti rawatan pesakit seiring dengan slogan 'Care for Life' kami, bahkan turut menyumbang kepada pembangunan negara. 

 

“Dalam usaha meningkatkan standard perkhidmatan yang ditawarkan, kami juga secara tidak langsung merangsang kemajuan yang positif dalam industri penjagaan kesihatan di Malaysia,” tambahnya.

 

Keahlian KPJ Healthcare di dalam Mayo Clinic memberikan akses penuh kepada hospital KPJ DSH dan DSH2 untuk memanfaatkan sumber rujukan klinikal dan perkhidmatan Mayo Clinic yang berteknologi tinggi, termasuklah sistem AskMayoExpert, eBoards dan akses perundingan.

 

Di samping itu, pengamal perubatan profesional di dua hospital pakar terbabit juga turut berpeluang untuk menggunakan bahan pendidikan tentang pesakit di Mayo Clinic dan terlibat dalam pembangunan profesional serta pendidikan perubatan berterusan, sekali gus meningkatkan kualiti penjagaan dan perkhidmatan yang diberikan.  - DagangNews.com