Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melantik seramai 25 individu dan pemain industri yang mempunyai pengalaman luas berkaitan sektor perumahan negara untuk menganggotai Panel Berkepakaran (PoE).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini merupakan pendekatan berterusan kementerian dalam melihat isu secara holistik dan cabaran berkaitan perumahan serta mencari pendekatan yang boleh menyelesaikan cabaran yang ada.
"Saya tekankan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. It is gone already. Maka, kita perlu sentiasa terbuka dengan idea dan cadangan baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat terbanyak lebih-lebih lagi soal kehidupan rakyat iaitu perumahan.
"Saya mahu lima cabaran dalam landskap perumahan ini dibincang iaitu ketersediaan rumah (availability), akses kepada pembiayaan (accessibility), kemampuan pemilikan rumah (affordability), kualiti perumahan (quality) dan daya huni (liveability).
"Kita mahu soal demand and supply ada titik keseimbangannya. Kita juga mahu harga dan kemampuan membeli berada pada tahap yang sepatutnya," katanya menerusi laman Facebook hari ini.
Beliau berkata, KPKT sentiasa menyahut cabaran serta komited dan melihat perkara tersebut dengan serius.
"Saya yakin pasti ada pendekatan yang boleh memberi situasi menang-menang kepada semua pihak dalam soal perumahan ini," katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Tan Sri Ahmad Phesal Talib sebagai Pengerusi Ganti.
Selain itu, penghargaan kepada barisan PoE yang turut dianggotai Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; bekas Ketua Setiausaha KPKT Tan Sri Arpah Abdul Razak; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani; Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute, Dr. Suraya Ismail dan bekas Ketua Setiausaha KPKT, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd. Yusof.
"Begitu juga wakil-wakil dari akademia, persatuan pembeli rumah, persatuan pemaju, sektor perbankan, media berkaitan hartanah dan juga beberapa pemain industri yang lain.
"Saya meletakkan keyakinan bahawa panel berkepakaran ini akan dapat menyuntik idea dan strategi baharu dalam membawa ekosistem perumahan yang mencerminkan kehendak dan keperluan rakyat.
"Saya tahu, it is a long journey and never ending battle dan saya mahu sinergi, integrasi dan collective efforts semua pihak dijalinkan dalam usaha ini. InsyaAllah, kita cuba lakukan yang terbaik," katanya. - DagangNews.com