KPLB terima 300 permohonan, semakan kelayakan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di Bukit Changgang | DagangNews Skip to main content

KPLB terima 300 permohonan, semakan kelayakan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di Bukit Changgang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima lebih 300 permohonan dan semakan kelayakan untuk pembaikan serta pembinaan rumah baharu untuk pasca banjir menerusi Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di Pusat Sehenti Tabika Kemas, Bukit Changgang.

 

Pusat sehenti yang dibuka selama tiga hari itu menjadi saluran bagi memudahkan mangsa banjir mendaftarkan kalayakan mereka menerusi borang yang disediakan sebelum diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah untuk diperaku Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

 

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, pihak kementerian mengambil inisiatif mempercepatkan proses pendaftaran bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir yang layak.

 

"KPLB memperuntukkan RM50 juta di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dengan kadar bantuan RM15,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah, RM56,000 untuk membina baharu di Semenanjung dan RM68,000 di Sabah dan Sarawak.

 

"Kementerian juga sudah memulakan kerja-kerja pembaikan Sabtu lalu membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang, Chennah dan Jelebu, Negeri Sembilan manakala empat lagi di Mentakab dan Temerloh, Pahang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehingga kini, KPLB sudah menerima permohonann sejumlah 1,879 unit rumah untuk baik pulih di kawasan banjir seluruh negara 165 adalah untuk pembinaan baharu rumah. - DagangNews.com