KUALA LUMPUR 25 Feb – KPower Bhd. merekodkan pendapatan sebanyak RM14.8 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2021, meningkat 34% berbanding suku sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga meningkat 5% kepada RM4.82 juta pada suku kedua berkenaan, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ini menjadikan pendapatan dan PBT kumpulan masing-masing sebanyak RM102.37 juta dan RM9.34 juta bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Disember 2021.
Segmen berkaitan aktiviti pembinaan menyumbang paling tinggi kepada hasil kumpulan sebanyak RM53.74 juta pada suku kedua, hampir 92% daripada jumlah pendapatan.
Bagaimanapun, ia menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan oleh sumbangan pembinaan yang lebih rendah daripada projek pembinaan yang sedang dijalankan yang hanya dibenarkan beroperasi dengan pematuhan ketat tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).
Faktor penyumbang lain termasuklah kenaikan harga bahan binaan yang mengakibatkan rantaian bekalan terganggu dan kekurangan buruh di tapak.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan KPower, Mustakim Mat Nun berkata, walaupun kumpulan berdepan dengan jangkaan kadar pemulihan ekonomi yang semakin perlahan, peningkatan berterusan kes COVID-19 di seluruh negara serta isu terkini berkaitan pemegang saham utama terdahulu, tetapi kumpulan terus mencatatkan satu lagi prestasi positif bagi suku kedua ini.
“Ini adalah hasil daripada tumpuan kami yang memberi lebih penekanan untuk mengukuhkan segmen aktiviti berkaitan pembinaan terutamanya dalam subsegmen tenaga dan utiliti.
"Kontrak yang diperoleh baru-baru ini juga menandakan undian keyakinan dan kepercayaan rakan kongsi perniagaan terhadap kepakaran dan keupayaan kami dalam ruang infrastruktur tenaga dan utiliti,” katanya.
Menurut beliau, kumpulan akan mengembangkan penawarannya dalam segmen utiliti menerusi anak syarikat milik penuhnya yang baru dibentuk iaitu KPower Digital Sdn. Bhd. yang baru-baru ini memperoleh kontrak dan berjaya mewujudkan kehadiran awalnya dalam industri telekomunikasi di Malaysia.
"Kami berharap semasa mengharungi senario ekonomi yang mencabar ini, kami akan terus mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang saham," tambahnya. - DagangNews.com