Kretam catat untung bersih 36% lebih rendah pada RM52 juta dalam 9MFY23 | DagangNews Skip to main content

Kretam catat untung bersih 36% lebih rendah pada RM52 juta dalam 9MFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Kretam Holdings Bhd telah mencatat keuntungan bersih RM52 juta pada tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), merosot 36% daripada RM81.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan dalam tempoh tersebut turut menyusut 19% kepada RM547 juta berbanding RM674 juta tahun lalu.

 

Pada tempoh berkenaan, harga komoditi minyak sawit mentah (MSM) lebih rendah adalah punca utama prestasi bahagian perladangan dan perkilangan merosot, mencatatkan pendapatan operasi berjumlah RM338 juta (2022: RM426.1 juta) dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM59.5 juta (2022: RM87.4 juta).

 

Sementara itu, segmen kilang penapisan mencatat pendapatan sebanyak RM478.1 juta (2022: RM603.5 juta) dan keuntungan sebelum cukai RM8.1 juta (2022: 26.7 juta), disebabkan oleh harga komoditi dan margin bersih lebih rendah yang dijana daripada jualan produknya.

 

Bagaimanapun, Kretam mencatat keuntungan bersih RM24.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding kerugian bersih RM6.37 juta dalam suku sama tahun lalu.

 

Pendapatannya bagi suku semasa juga meningkat 7% kepada RM170.8 juta daripada RM159.6 juta tahun lalu.

 

Ia mencatat pendapatan sesaham 1.08 sen dalam 3QFY23 berbanding kerugian sesaham 0.28 sen sebelumnya.

 

Mengulas tentang prospek, Kretam berkata walaupun kos baja, bekalan dan alat ganti telah jatuh dari kemuncaknya, kos pengeluaran pada tahun 2023 kekal meningkat dan akan mengambil sedikit masa untuk menjadi normal. 

 

"Pihak pengurusan telah berusaha untuk meningkatkan produktiviti secara keseluruhan dan hasil untuk mengimbangi peningkatan kos pengeluaran," katanya.

 

Tambahnya, harga MSM stabil pada suku ketiga dan keempat tahun ini, di samping  pengurusan berusaha untuk menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi, justeru ia optimis dan menjangkakan prestasi keseluruhan pada 2023 kekal teguh dan sihat. 

 

"Kumpulan akan mengambil langkah tambahan dalam mengurangkan risiko berkaitan sektor menerusi pengurusan kos yang berhemat, meningkatkan hasil dan produktiviti pada suku-suku akan datang," katanya. - DagangNews.com