KSL cadang ambil alih tanah Bandar Setia Alam berharga RM228.8 juta di Bukit Raja | DagangNews Skip to main content

KSL cadang ambil alih tanah Bandar Setia Alam berharga RM228.8 juta di Bukit Raja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Nov - KSL Holdings Berhad menerusi KSL Bestari Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Bandar Setia Alam Sdn. Bhd. bagi mengambil alih tanah seluas 783,827 kaki persegi berharga RM228.8 juta di Bukit Raja, Selangor.

 

Cadangan pengambilalihan itu adalah bagi meluaskan bank tanah semasa kumpulan dalam meningkatkan hasil pada masa hadapan.

 

Pemerolehan itu akan dibiayai melalui dana janaan dalaman dan pinjaman, syarikat akan mengambil kira nisbah penggearan, caj faedah, kedudukan tunai dan keperluan kecairan untuk campuran pembiayaan.

 

Tanah itu dipercayai akan digunakan bagi projek pembangunan kediaman dan meningkatkan lagi kehadirannya dalam pasaran hartanah di Selangor. 

 

"Projek tersebut dijangka melibatkan pembangunan kira-kira 2,600 unit hartanah kediaman yang akan dimulakan pada 2025.

 

"Berdasarkan anggaran lembaga pengarah, jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) projek itu ialah kira-kira RM 2.2 bilion," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sebaik sahaja pengambilalihan itu selesai, bank tanah KSL akan menjadi kira-kira 1,052 hektar bank tanah terletak di Segamat, Batu Pahat, Muar, Mersing, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Klang dan Selangor.

 

Daripada itu, kira-kira 50% daripadamya berada dalam pelbagai peringkat kelulusan, dan kira-kira 25% daripada bank tanah itu berada di bawah pelbagai peringkat pembangunan. - DagangNews.com