KWSP catat pendapatan pelaburan kasar bernilai RM48.02 bilion | DagangNews Skip to main content

KWSP catat pendapatan pelaburan kasar bernilai RM48.02 bilion

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Jan -  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar RM48.02 bilion untuk sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2021, meningkat 7.7%, atau RM3.42 bilion, berbanding RM44.60 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2020.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata, bagaimanapun jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku tahun ketiga berakhir 30 September 2021 mencecah RM13.97 bilion, lebih rendah daripada RM17.33 bilion yang direkodkan pada suku tahun yang sama 2020.

 

Ujarnya, pasaran ekuiti domestik dan pasaran baru muncul dalam suku tahun ketiga 2021 adalah tidak menentu, sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kerisauan sekitar peningkatan kadar inflasi dan faedah.

 

"Pada masa yang sama, pemulihan berterusan ekuiti dalam ekonomi membangun di sebalik suasana yang tidak menentu menyediakan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan tambahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 54% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM7.5 bilion.

 

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada polisi dalaman dan langkah berhemah bagi memastikan kemantapan portfolio KWSP, sebanyak RM110 juta turun nilai kos untuk ekuiti tersenarai dicatatkan dalam suku tahun ketiga, berbanding RM130 juta bilion pada suku tahun sama pada tahun lalu. 

 

"Setelah mengambil kira turun nilai kos, sebanyak RM13.86 bilion pendapatan pelaburan bersih direkodkan pada suku ketiga 2021.

 

"Secara kumulatif, sebanyak RM350 juta diturun nilai untuk ekuiti tersenarai, lebih rendah daripada RM6.46 bilion untuk tempoh yang sama pada 2020, di sebalik pemulihan berterusan dalam pasaran ekuiti global, seterusnya menjadikan pendapatan pelaburan bersih RM47.67 bilion pada sembilan bulan 2021, berbanding RM38.14 bilion untuk sembilan bulan 2020," katanya.

 

Pelaburan dalam pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM5 bilion, atau 36% kepada pendapatan pelaburan kasar KWSP semasa suku ketiga 2021, lebih rendah berbanding RM8.18 bilion yang dijana pada suku ketiga 2020, berikutan keuntungan dagangan yang lebih rendah.

 

"Ini adalah selari dengan hasil pasaran yang lebih tinggi pada suku ketiga 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya. -DagangNews.com