Lagenda berhasrat jual 49% ekuiti keluar daripada bisnes ayam dan itik? | DagangNews Skip to main content

Lagenda berhasrat jual 49% ekuiti keluar daripada bisnes ayam dan itik?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Lagenda Properties Berhad (Lagenda) telah melaksanakan opsyen jual (put option) untuk melepaskan 49% ekuitinya di dalam enam buah syarikat berkaitan perniagaan ayam itik hari ini. 

Ekuiti tersebut bakal dilepaskan pada nilai agregat RM9.8 juta kepada Datuk Ding Seng Huat.

Langkah itu dilakukan susulan Lagenda ingin menumpukan sepenuhnya perniagaan pembangunan hartanah.

“Syarikat telah melaksanakan opsyen jual seperti di bawah Perjanjian Jual Saham (SSA) bertarikh 2 Oktober 2019 dipegang oleh Lagenda di Harumi Brands Sdn. Bhd., D.B.E. Breeding Sdn. Bhd., D.B.E. Hatchery Sdn. Bhd., D.B.E. Marketing Sdn. Bhd., D.B.E. Food Processing Industries Sdn Bhd dan D.B.E. Gurney Chicken Sdn. Bhd,” kata Lagenda menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia.

Bagaimanapun, identiti individu yang dinyatakan, Datuk Ding Seng Huat untuk mengambil alih ekuiti berkenaan tidak dedahkan dengan terperinci. 

Lagenda yang sebelum ini dikenali sebagai D.B.E. Gurney Resources Berhad mengambil langkah tersebut untuk membuka lebih banyak nilai dan wang pelaburannya dalam syarikat-syarikat berkenaan selain membolehkan syarikat memfokuskan sumbernya semata-mata dalam perniagaan pembangunan hartanah.

“Ahli Lembaga syarikat telah mempertimbangkan kesemua aspek, berpendapat bahawa pelaksanaan opsyen jual adalah untuk kepentingan terbaik syarikat.

Setelah pelaksanaan opsyen jual yang diberikan di bawah SSA dan penyelesaian pemindahan Saham Opsyen, syarikat-syarikat itu akan berhenti sebagai syarikat bersekutu Lagenda, dan Lagenda tidak akan lagi terlibat dalam perniagaan yang berkaitan dengan ayam itik,” tambah Lagenda. 

Setakat 2.43 petang, saham Lagenda kekal pada harga 83 sen dan sebanyak 125,700 saham didagangkan. - DagangNews.com