Lagenda Properties meterai perjanjian dengan KVDK bantu anggota tentera miliki rumah | DagangNews Skip to main content

Lagenda Properties meterai perjanjian dengan KVDK bantu anggota tentera miliki rumah

Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Lagenda Properties Bhd. memeterai perjanjian dengan Koperasi Veteran Daulat Kedah (KVDK) Bhd. untuk membantu anggota tentera memiliki kediaman.

 

Menerusi perjanjian itu, Lagenda Properties akan menawarkan pelan kewangan bersesuaian untuk anggota yang memerlukan bagi membolehkan mereka menstrukturkan semula kewangan dan mendapat kelayakan pinjaman yang tinggi.

 

Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata, masih terdapat sebahagian besar anggota tentera yang berdepan masalah perumahan terutama di luar kawasan Lembah Klang. 

 

Kata, dilema perumahan adalah isu yang sangat nyata dalam kalangan anggota tentera kerana harganya yang mahal melebihi pasaran.

 

"Di sinilah peranan kami sebagai kumpulan untuk membantu menangani segmen khusus ini bagi memastikan setiap orang dapat memiliki rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Perkhidmatan ini, yang selalunya menentukan kejayaan pemilik rumah dalam membeli hartanah, disediakan secara percuma oleh penasihat Lagenda Properties yang berpengalaman.

 

Bagi membantu masyarakat, Lagenda Properties akan memberi diskaun RM1,000 untuk setiap rumah yang dibeli oleh ahli KVDK.

 

Ini adalah penjimatan sebagai tambahan kepada pakej jualan am merangkumi yuran guaman percuma, duti setem percuma untuk memorandum pemindahan dan rebat tunai hanya terpakai kepada penjawat awam.

 

Sementara itu, pengerusi KVDK, Asomuddin Ahmad berkata, masih ramai dalam kalangan ahlinya belum memiliki rumah disebabkan isu kemampuan dan gaji B40 pada purata RM2,000 sebulan.

 

"Mereka juga cenderung mempunyai banyak pinjaman berterusan, yang menghalang peluang untuk memiliki rumah. 

 

"Dengan kerjasama ini, mereka akan dinasihatkan tentang cara menyusun semula dan menguruskan hutang mereka dengan lebih baik," tambahnya. - DagangNews.com