Laman Warisan Serunding Kampung Laut bawa nafas baharu kepada aktiviti pelancongan di Kelantan | DagangNews Skip to main content

Laman Warisan Serunding Kampung Laut bawa nafas baharu kepada aktiviti pelancongan di Kelantan

 Mohd Shahar Abdullah (dua dari kiri) mendengar taklimat mengenai Laman Warisan Serunding Kampung Lau di Tumpat, Kelantan pada 15 Oktober 2021.

 

 

TUMPAT 16 Okt – Penyiapan Laman Warisan Serunding Kampung Laut di sini tepat pada masa kebenaran merentas negeri yang diumumkan baru-baru ini, setelah hampir setahun sempadan negeri ditutup dan menjejaskan sektor pelancongan.

 

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, beliau berbangga kerana Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berpandangan jauh dan meneruskan projek-projek seperti yang dirancang walaupun sewaktu pandemik.

 

Langkah tersebut ujar beliau, memastikan momentum pembangunan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tidak terjejas dan akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu kepada masyarakat setempat.

 

“Kerajaan Persekutuan sentiasa menitikberatkan pembangunan yang akan membawa manfaat jangka panjang untuk rakyat dan akan mempertimbangkan kemungkinan untuk melaksanakan projek-projek yang mampu memperkukuh dan melengkapkan tarikan pelancongan di negeri ini, sekaligus meningkatkan ekonomi tempatan pada masa depan,” katanya.

 

Mohd Shahar berkata demikian semasa mengetuai delegasi ke Kelantan sebagai sebahagian daripada Program Jelajah Belanjawan 2022, pada Jumaat.

 

Beliau melawat Laman Warisan Serunding Kampung Laut yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan semula Kampung Laut yang dilaksanakan oleh ECERDC.

 

 

serunding
Mohd Shahar Abdullah (tengah) dan Che Abdullah Mat Nawi (kiri) meninjau kilang pembuatan serunding di Kampung Laut.

 

 

Projek ini bakal menjadikan Kampung Laut, yang terletak di Jajahan Tumpat sebagai sebuah pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘mesti lawat’ di Kelantan.

 

Turut serta dalam lawatan kerja tersebut adalah Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Pengurus Kanan, Perancangan Strategik Korporat, ECERDC, Yusmurni Md Yusoff.

 

Laman Warisan Serunding Kampung Laut menyediakan 11 ruang niaga untuk menjual makanan tradisional tempatan seperti serunding Kampung Laut yang terkenal.

 

Selain itu, projek pembangunan semula Kampung Laut ini turut merangkumi Laman Warisan Seni Kampung Laut yang membuka peluang kepada para pengusaha tempatan untuk mempamerkan karya seni mereka.

 

Laman Warisan Seni ini yang dijangka siap pada awal tahun depan akan menyediakan ruang untuk menjual produk tempatan seperti batik, wau dan kraftangan kepada 12 peniaga tempatan.

 

Projek pembangunan semula Kampung Laut bukan sahaja bertujuan untuk menjana ekonomi menerusi aktiviti-aktiviti pelancongan malahan dapat membantu penduduk tempatan meneruskan aktiviti-aktiviti ekonomi lain yang terjejas akibat pandemik dan ini akan membantu menjana semula pertumbuhan sosioekonomi di kawasan-kawasan sekitar.

 

 

ecerdc

 

 

Sementara itu, Pengurus Besar Pejabat ECERDC Negeri Kelantan, Dato’ Wan Mohd Hasnan berkata, istimewanya projek ini adalah kerana ia adalah pembangunan mampan yang turut meraikan dan memelihara budaya, warisan dan tradisi kampung tempatan.

 

‘’Kampung Laut bakal menjadi muzium hidup di mana masyarakat setempat akan berpeluang menjana pendapatan melalui aktiviti kebudayaan seperti persembahan wayang kulit dan permainan wau, dan ini akan menyuburkan kembali minat orang-orang muda untuk menghidupkan kembali aktiviti-aktiviti kebudayaan seumpama ini.

 

“Tidak kurang pentingnya adalah pemindahan masjid tertua di Malaysia yang masih digunakan iaitu Masjid Kampung Laut dari Nilam Puri ke tempat asal di Kampung Laut yang juga merupakan salah satu daripada komponen projek ini.

 

‘’Pemindahan masjid berusia lebih 300 tahun ini dapat mengekalkan nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid serta mencipta mercu tanda warisan di Kelantan,” tambah Dato’ Wan Mohd Hasnan.

 

Bagi perancangan jangka panjang, Masjid Kampung Laut dan pembangunan Kampung Laut sebagai kampung warisan telah dicalonkan sebagai objek dan tapak warisan kebangsaan dan seterusnya bakal diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah UNESCO.

 

Akan datang, pembinaan Jambatan Palekbang dan Kota Bharu Promenade akan melengkapkan Laman Warisan Kampung Laut sebagai pembangunan bersepadu berasaskan pelancongan di negeri Kelantan dan akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan di kawasan-kawasan di sepanjang jalan tersebut.

 

 

shahar
Mohd Shahar Abdullah meninjau kawasan projek pembinaan di Kampung Laut, Tumpat pada 15 Oktober 2021.

 

 

Selain daripada Jambatan Palekbang, projek-projek utama lain di Kelantan adalah Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3), Central Spine Road (CSR) termasuk lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dan kerja-kerja menaik taraf jalan raya Pasir Puteh ke Jeli.

 

Projek-projek ini bukan sahaja akan meningkatkan kesalinghubungan antara Kelantan dan seluruh negara, malah akan turut mencetuskan limpahan ekonomi di kawasan sekitarnya.

 

Projek lain yang sedang dibangunkan adalah pembangunan Pasar Terapung Pulau Suri.

 

Projek ini dijangka akan menarik lebih ramai pelancong ke pasar terapung tersebut. Skop projek merangkumi pembinaan platform pasar dan jeti, medan selera tertutup dan kerja-kerja infrastruktur awam lain. – DagangNews.com