Langkah pelupusan ladang sawit TSH Resources dijangka selesai Q1 2022 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Langkah pelupusan ladang sawit TSH Resources dijangka selesai Q1 2022 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov - Cadangan pelaksanaan Cukai Makmur seperti dibentangkan dalam Bajet 2022, Jumaat lalu dijangka tidak menjejaskan TSH Resources Bhd. dengan ketara memandangkan sebahagian besar hasil sawitnya disumbangkan menerusi operasi di Indonesia.

 

Penganalisis AmInvestment Bank Research , Gan Huey Ling berkata, dianggarkan hampir 80% pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) bagi segmen kelapa sawit untuk tahun kewangan 2020 (FY20) sebanyak RM145 juta adalah daripada negara berkenaan. 

 

Malah, beliau turut menganggarkan untung bersih TSH bagi tahun kewangan 2022 (FY22) tidak lebih daripada RM100 juta. 

 

"TSH dijangka melengkapkan cadangan pelupusan kawasan ladang sawit seluas 2,933 hektar bernilai RM248 juta dan kilang minyak sawit di Kinabatangan, Sabah kepada Sharikat Keratong Sdn. Bhd. pada suku pertama 2022.

 

"Ini dianggarkan akan mengurangkan gearan bersih TSH kepada 55% daripada 78.9% (setakat akhir FY20) dan juga menyebabkan kehilangan buah tandan segar sebanyak 5%. 

 

"Bagaimanapun, kami tidak mengambil kira cadangan pelupusan ini dalam unjuran pendapatan FY22," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 6 Julai lalu, TSH memeterai urus niaga dengan Shahrikat Keratong untuk menjual 2 ladang sawit dan kilang sawit di Kinabatangan, yang membolehkan kumpulan mengurangkan pinjamannya sebanyak RM1.134 bilion (setakat akhir 2020).
 

 

Huey Ling berkata, Indonesia dijangka memacu pengeluaran buah tandan segar TSH bagi tahun kewangan 2021 (FY21) yang dianggarkan merangkumi lebih daripada 90% pengeluaran. 

 

Di Malaysia, katanya, pengeluaran buah tandan segar mungkin menurun kira-kira 10% pada FY21 disebabkan kekurangan tenaga buruh dan keadaan cuaca yang lembap pada suku pertama tahun ini. 

 

TSH merancang untuk memberi fokus terhadap tanaman semula bagi pokok sawit yang telah berusia terutamanya di Sumatra ketika FY21 dan FY22.

 

"Kami percaya, pengeluaran buah tandan segar pada separuh kedua 2021 akan lebih rendah selepas mengalami musim penuaian yang tidak menentu pada separuh pertama. 

 

"Pokok-pokok sawit TSH di Indonesia pula lebih produktif pada separuh pertama seperti yang ditunjukkan dengan peningkatan 16.7% pengeluaran buah tandan segar," tambahnya.

 

Bagi pendapatan menerusi koko pula, beliau menjangkakan, pulangan yang kurang menarik bagi FY21 dan awal tahun hadapan memandangkan permintaan coklat dan kosmetik masih lemah.

 

"Sebaliknya, ia hanya akan kembali pulih mulai separuh kedua 2022 dan seterusnya apabila perjalanan rentas sempadan semakin meningkat," katanya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham TSH dengan nilai saksama tidak berubah pada RM1.20. - DagangNews.com