Langkah penstrukturan lonjak saham BHB, sebelum susut kembali | DagangNews Skip to main content

Langkah penstrukturan lonjak saham BHB, sebelum susut kembali

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 14 April - Saham BIMB Holdings Bhd. (BHB), yang memiliki Bank Islam, dibuka 6 sen atau 1.52% lebih tinggi kepada RM4 dalam dagangan awal. 

 

Bagaimanapun, setakat 11.19 pagi ini, saham BHB kembali susut 1.27% kepada RM3.89 sesaham. 

 

Semalam, BHB memaklumkan akan menerbitkan 222.22 juta saham baharu yang dijangka mengumpul modal kira-kira RM795.6 juta.

 

Terbitan saham itu mewakili 12.0% daripada modal terbitan saham BHB setakat 12 April 2021.

 

Penempatan saham ini juga telah menerima lebihan langganan daripada kedua-dua pemegang saham sedia ada dan pelabur baharu.

 

Menerusi langkah penstrukturan BHB yang diumumkan sejak Disember 2019, Bank Islam akan mengambil alih status penyenaraian BHB dan langkah penstrukturan itu dijangka selesai menjelang Ogos 2021.

 

Dalam nota kajian CGS-CIMB bertarikh 29 Mac lalu, firma itu berkata, seperti dinyatakan BHB, langkah pengumpulan dana itu dibuat bagi menjana RM800 juta untuk membiayai sukuk.

 

Seperti dianggarkan BHB, jumlah penebusan sukuk adalah sebanyak RM954.5 juta dan ini bermakna dana yang dikumpul itu tidak cukup bagi membiayai sukuk yang mana lebihannya akan dibayar menerusi dana dalaman BHB.

 

Malah, firma itu juga menjangkakan langkah BHB melupuskan pegangan dalam 3 entitinya iaitu Syarikat Al-Ijarah, BIMB Securities dan BIMB Securities kepada Bank Islam akan memberi kesan minimum kepada pendapatan BHB memandangkan ia dilaksanakan di peringkat dalaman kumpulan. - DagangNews.com