Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 dilancar bagi transformasikan struktur gaji di Malaysia - Rafizi | DagangNews Skip to main content

Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 dilancar bagi transformasikan struktur gaji di Malaysia - Rafizi

Rafizi Ramli
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 akan menjadi struktur asas kepada rumusan isu pekerja dan menyediakan suatu perspektif bagi mendukung hasrat kerajaan mengadakan perubahan progresif mentransformasikan struktur gaji di Malaysia.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, hasil laporan tersebut juga boleh menjadi salah satu pembolehubah penting dalam kajian-kajian mendalam berkaitan landskap perburuhan di Malaysia.

 

Beliau berkata, keperluan utama menghasilkan statistik gaji dan upah pada frekuensi yang lebih tinggi ini supaya kerajaan dapat menggubal dasar dan memantau isu berkaitan gaji dan upah secara berkala dan lebih terperinci.

 

Katanya, statistik ini boleh digunakan sebagai alat pemantauan dan input penting penggubalan dasar bagi menangani isu-isu dalam pasaran buruh seperti isu kesenjangan upah antara sektor ekonomi, etnik dan kawasan, isu ketidakcukupan simpanan umur persaraan dan penerimaan bantuan sosial. 

 

"Statistik yang dihasilkan ini mampu mengatasi isu-isu tersebut kerana statistik ini berasaskan data mikro yang dapat memperihalkan data hingga ke peringkat terkecil selain dapat menghubung jalin tahap gaji dengan tahap kemahiran serta perlindungan sosial. 

 

"Selain itu, isu tahap kebolehpasaran dan kedudukan pekerjaan graduan pada turut membimbangkan pelbagai pihak terutama golongan beliawan dan beliawanis di luar sana. 

 

"Justeru, saya yakin bahawa laporan statistik ini dapat membantu pengesanan keberadaan semasa graduan melalui integrasi data yang dilakukan sebelum membantu dalam penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi yang relevan dengan keperluan industri semasa, mengurangkan isu ketidakpadanan kemahiran yang ketara dan membolehkan pekerja memperoleh gaji yang bermakna," katanya.

 

 

dosm

 

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di Putrajaya, hari ini.

 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

 

Rafizi berkata, istimewanya statistik ini buat julung kalinya diterbitkan bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap maklumat kedudukan gaji rakyat Malaysia pada frekuensi yang lebih tinggi.

 

Katanya, ia juga merupakan inisiatif pertama dan fasa baharu DOSM dalam menyediakan statistik rasmi bagi indikator pasaran buruh menggunakan sumber data pentadbiran.

 

"Saya yakin dengan adanya Statistik Upah Pekerja dengan kekerapan lebih tinggi, terkini dan komprehensif ini akan menjadi sumber utama dalam penyediaan dasar pembangunan nasional yang merangkumi Rancangan Pembangunan Jangka Panjang dan Sederhana. 

 

"Selain itu, statistik yang dihasilkan ini juga dapat membantu kerajaan membuat keputusan dengan tepat dan bersasar hingga ke peringkat terkecil seperti peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya. - DagangNews.com