LB Aluminium beli tanah perindustrian RM30.4 juta di Beranang | DagangNews Skip to main content

LB Aluminium beli tanah perindustrian RM30.4 juta di Beranang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - LB Aluminium Berhad telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Puspajaya Realty Sdn Bhd untuk membeli tanah perindustrian pegangan bebas bernilai RM30.4 juta di Beranang, Selangor.

 

Syarikat pembuatan aluminium itu berkata ia akan mengambil alih tanah tersebut yang mempunyai dua unit kilang berkembar satu tingkat, pejabat satu tingkat dan rumah pengawal.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, tanah tersebut berkeluasan 18,469 meter persegi atau kira-kira 1.8 hektar, yang terletak di Kawasan Perindustrian Mahkota.

 

Pertimbangan pembelian RM30.4 juta yang dibuat atas dasar ‘penjual sanggup penjual rela’ itu akan dibayar secara tunai daripada dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank.

 

Pecahan sumber pembiayaan hanya akan ditentukan kemudian dan bergantung kepada rizab tunai kumpulan dan keperluan pembiayaan masa hadapan.

 

LB Aluminium itu berkata cadangan pengambilalihan tersebut mempunyai kepentingan strategik kepada syarikat kerana ia terletak bersebelahan dengan operasi pembuatan dan kilang sedia ada, serta sedia untuk digunakan segera.

 

“Kami akan menggunakan hartanah tersebut untuk meningkatkan kapasiti gudang kami di Beranang dan untuk menempatkan semula operasi anak-anak syarikat kami di sana, serta memenuhi sebarang rancangan pembesaran pada masa hadapan,” ulasnya dalam makluman tersebut.

 

Kumpulan itu menjangkakan pengambilalihan tersebut tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham dan aset bersih kumpulan, mahupun impak terhadap jumlah modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham besar untuk tahun kewangan berakhir 30 April 2024.

 

Malahan, pengambilalihan tanah itu dijangka meningkatkan nisbah penggearan bersih kumpulan akan meningkat kepada 0.39 kali daripada 0.31 kali.

 

Saham LB Aluminium ditutup tinggi 0.5 sen atau 1.1% pada 46 sen hari ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM200 juta.  - DagangNews.com