KUALA LUMPUR 12 Dis - Seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM400,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana `membenarkan' kawannya melupuskan lebih 14 juta saham dalam pengeluar perabot tempatan di akaun sistem depositori pusat (CDS) beliau 18 tahun lalu.
Hakim Azman Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Siow Chung Peng, 52, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan alternatif semasa perbicaraan pembelaan, yang bermula pada 2020.
Siow diperintahkan menjalani hukuman penjara hari ini. Dia membayar denda itu.
Ketika menjatuhkan hukuman itu, Azman berkata tiga hakim telah mendengar kes itu dalam perbicaraan yang berlangsung lebih 10 tahun dan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah telah dikembalikan kepada pihak pendakwaan.
"Saya berterima kasih kepada pihak pendakwaan dan pihak pembelaan kerana berjaya menyelesaikan kes ini dengan memuaskan, dan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak. Saya berharap kes seperti ini tidak berulang," kata hakim.
Mengikut pertuduhan, Siow, sebagai pemilik benefisial akaun CDS di OSK Securities Bhd, didakwa membenarkan Goh Hock Choy, 60, yang bukan penama yang diberi kuasa untuk akaun itu, melupuskan 14,683,200 unit Lii Hen Industries Bhd dalam akaun.
Dengan berbuat demikian, Siow melanggar Seksyen 29A Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang menyatakan bahawa semua urusan berkaitan sekuriti yang didepositkan hanya akan dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan atau penama yang diberi kuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 51 Akta sama, di Bursa Malaysia Sekuriti Bhd, Tingkat 14, Dataran Exchange, Bukit Kewangan di sini antara 2 Julai 2004 dan 2 Nov 2004.
Undang-undang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Izuddin Mohamad, memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung pertuduhan dan hukuman mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah, selepas tertuduh menghantar representasi kepada SC.
“Justeru, pihak pendakwaan telah menyediakan dokumen mengenai pelupusan kes yang mengandungi syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” tambahnya.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Siow mengesahkan perkara itu. - DagangNews.com