Lebih 600 syarikat pemula semarak kerjasama pada sidang kemuncak IASS 2023 | DagangNews Skip to main content

Lebih 600 syarikat pemula semarak kerjasama pada sidang kemuncak IASS 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Menerusi usaha sama Malaysia dan India untuk memupuk ekosistem syarikat pemula yang teguh di kedua-dua negara dan rantau ASEAN yang lebih meluas, lebih daripada 600 syarikat pemula tempatan dan antarabangsa bakal berhimpun pada Sidang Kemuncak Syarikat Pemula India-ASEAN (IASS) 2023 yang julung kali berlangsung mulai 12 hingga 13 Disember 2023 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid.

 

Inisiatif perintis oleh DEWI Wealth Accelerator, IASS 2023 merupakan peluang untuk syarikat pemula mengetengahkan idea dan penyelesaian inovatif mereka. 

 

Menerusi tumpuan terhadap inovasi, kerjasama dan pemerkasaan wanita, sidang kemuncak berkenaan akan menyaksikan penyertaan daripada 50 pelabur tempatan dan antarabangsa serta 100 hab syarikat pemula, accelerators dan agensi kerajaan, termasuk Startup India, Invest India, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan MDV.  

 

PengasasDEWI Wealth Accelerator, Datin Malliga Subramaniam, menekankan peluang luar biasa yang bakal diketengahkan pada sidang kemuncak berkenaan bagi membolehkan syarikat pemula menyelidiki potensi luas dari segi kerjasama rentas sempadan bersama rakan usaha sama dari India. 

 

"Di IASS 2023, kami teruja untuk mewujudkan satu platform yang mana syarikat pemula Malaysia boleh mendapatkan pandangan daripada ekosistem teknologi digital India yang pesat berkembang. 

 

"Pasaran luas India dan insentif yang menggalakkan bagi perniagaan dalam sektor yang baharu muncul merupakan tawaran yang sangat baik untuk inovasi. Sidang kemuncak ini akan membuka laluan kepada syarikat pemula Malaysia memperoleh manfaat daripada pasaran India sekali gus saling memupuk pertukaran idea dan strategi. 

 

"Kami menyediakan persekitaran untuk membentuk kerjasama dinamik yang mana syarikat pemula dari kedua-dua rantau boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing, memacu pertumbuhan dan inovasi dalam bidang teknologi digital. Acara ini mengetengahkan pemerkasaan usahawan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan merentasi sempadan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

 

iass
Datin Malliga Subramaniam

 

 

Maliga berkata, tumpuan khusus sidang kemuncak berkenaan adalah untuk memperkasa syarikat pemula yang diterajui wanita, menangani cabaran dan peluang unik dalam sektor ini. 

 

"Dedikasi kami begitu meluas, kami berhasrat untuk mewujudkan persekitaran yang berupaya untuk menjaga dan memberi sokongan khusus untuk usahawan wanita. Kami memahami bahawa wanita sering menghadapi cabaran berbeza dalam perjalanan perniagaan mereka, dan sidang kemuncak ini direka untuk menangani pelbagai isu ini secara langsung," katanya.

 

Beliau menambah bahawa keutamaan ini sejajar degan matlamat yang lebih meluas sidang kemuncak bagi memupuk ekosistem syarikat pemula yang pelbagai dan inklusif yang mana semua usahawan tanpa mengira jantina, boleh berjaya dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan inovasi serantau. 

 

Mengetengahkan kepentingan strategik sidang kemuncak berkenaan dalam meingkatkan hubungan India-Malaysia,  Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, BN Reddy memberi penekanan terhadap peranan IASS 2023 sebagai asas untuk memupuk hubungan ekonomi dan inovatif antara dua negara berkenaan. 

 

 

iass
BN Reddy

 

 

"India dan Malaysia menikmati hubungan perdagangan dan pelaburan yang kian berkembang. Perdagangan dua hala sudah mencecah AS$20 bilion dalam tahun kewangan 2022-23. 

 

"Pelaburan dua hala turut merekodkan perkembangan ketara. Syarikat pemula India berjaya meluaskan pasaran ke Malaysia dan seterusnya ke rantau ASEAN. Beberapa syarikat pemula India seperti Oyo, Perfios, Pine Labs, Razorpay kini bertapak kukuh di Malaysia dan sedang meneroka peluang yang luas di rantau Asia Tenggara," katanya.

 

Beliau menambah bahawa syarikat pemula Malaysia boleh mendapat manfaat dari India kerana negara berkenaan menawarkan pasaran besar dan beberapa insentif untuk menjalankan perniagaan dalam sektor baharu muncul serta menyediakan persekitaran yang optimum bagi syarikat pemula teknologi berkembang maju. 

 

"India mempunyai ekosistem syarikat pemula ketiga terbesar di dunia dengan pertumbuhan tahunan yang konsisten sebanyak 12-15%. Pada masa ini, terdapat lebih daripada 115,000 syarikat pemula di India yang diiktiraf Kerajaan India dengan 110 syarikat pemula berstatus 'unicorn' (dengan nilai lebih daripada AS$1 bilion). 

 

"Syarikat pemula India kini bekerjasama secara aktif dengan syarikat pemula Malaysia, misalnya Razorpay, pemain fintech terkemuka di India yang bekerjasama dengan Curlec (syarikat pemula Malaysia) dan sudah memperoleh pegangan majoriti ke atasnya. 

 

"Curlec kini merupakan pemain terkemuka dalam ruang pembayaran digital B2B dan baru-baru ini menyertai Paynet sebagai ahli secara langsung dengan rancangan untuk meluaskan perniagaan dengan pesat di Malaysia dan ke rantau ASEAN. Kami percaya IASS 2023 kini berusaha mewujudkan persekitaran dalam melahirkan kerjasama syarikat pemula yang lebih berjaya," katanya. 

 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli menyatakan sokongan kepada kerjasama antarabangsa sedemikian yang mana acara rentas sempadan seperti IASS 2023 sememangnya penting dalam menggalakkan pertumbuhan keusahawanan dan inovasi serta mustahak bagi pertumbuhan holistik ekosistem syarikat pemula di negara ini.

 

 

iass
Adam Adli

 

 

"Sidang Kemuncak Syarikat Pemula Indian ASEAN berfungsi sebagai pemangkin untuk menjalin persepakatan dan kerjasama antara India dan Malaysia. 

 

"Dengan mewujudkan rangka kerja untuk syarikat pemula di kedua-dua negara, kita mampu mencipta asas kukuh yang membolehkan golongan usahawan memanfaatkan potensi Malaysia sebagai batu loncatan untuk berkembang ke rantau ASEAN dan seterusnya," katanya. 

 

Sidang kemuncak berkenaan disokong rakan kongsi dari kedua-dua negara, Malaysia (termasuk MDEC, Malaysian Investment Development Authority, Malaysia Debt Ventures, Majlis Belia Malaysia, Beyond4, SME Corporation, Sunway Group, PubliCT.io dan NisaBakri Gourmet) dan India (termasuk Kementerian Sains dan Inovasi, Kementerian Perdagangan, India ASEAN Chamber of Commerce, Startup India dan Invest India). 

 

Acara berkenaan akan menampilkan ucaptama daripada peneraju industri, perbincangan panel dan sesi rangkaian bagi memupuk kerjasama dan pertumbuhan perniagaan. 

 

Beberapa penceramah terkenal termasuklah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasamy; Pengasas Bersama PitchIN, Sam Shafie; Pengasas Bersama Fave, Yeoh Chen Chow; Pengerusi G20 Startup India, Chintan Vaishnav serta Pengasas CEO - The India Network/Usahawan/Pelabur, Rahul Narvekar. 

 

Antara topik yang bakal diteroka termasuk mekanisme pembiayaan, akses pasaran dan penjenamaan, berserta perbincangan mengenai strategi perkembangan rentas sempadan.

 

Sidang kemuncak berkenaan turut dianjurkan bersama oleh INPUT STRATEGY dan COEXRT. Untuk maklumat lanjut mengenai IASS, sila layari https://www.startupsummitasia.com/. - DagangNews.com