Lebih 674,000 OKU berdaftar dengan JKM pada 2022 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Lebih 674,000 OKU berdaftar dengan JKM pada 2022 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Jumlah Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 2022 mencatatkan sejumlah 674,548 orang, yang mana 2% terdiri daripada jumlah penduduk di negara ini, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu adalah lebih rendah berbanding anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global.

 

Beliau berkata, WHO menganggarkan sejumlah 1.3 bilion orang mengalami kecacatan yang ketara sehingga Mac 2023 iaitu 16% daripada populasi penduduk dunia. 

 

"Penemuan dalam bidang kesihatan menunjukkan bilangan OKU yang menerima rawatan kesihatan meningkat. Bilangan ini meningkat daripada 2,580 orang pada 2021 kepada 3,940 orang pada 2022. 

 

"Daripada jumlah tersebut, kategori masalah pembelajaran mencatatkan bilangan tertinggi yang mendapatkan rawatan kesihatan iaitu 81.3%," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, bilangan murid di sekolah rendah pendidikan khas pada 2022 meningkat 1.1% kepada 1,477 berbanding 1,461 pada tahun sebelumnya. 

 

Manakala, bilangan murid di sekolah menengah pendidikan khas pula menunjukkan penurunan 2% kepada 1,046 berbanding 1,067 dalam tempoh yang sama, katanya.

 

 

DOSM

 

 

 

"Jumlah guru di sekolah rendah dan menengah pendidikan khas keseluruhannya juga menurun daripada 1,310 orang guru (2021) kepada 1,296 orang guru pada 2022," ujar beliau.

 

Dalam sektor guna tenaga katanya, penjawat awam OKU yang berkhidmat pada 2022 adalah 3,724 orang meningkat daripada 3,694 orang pada 2021. 

 

Beliau berkata, OKU yang mengalami kecacatan fizikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,551 orang pada 2022. 

 

"Berdasarkan kumpulan perkhidmatan, majoriti OKU berkhidmat dalam kumpulan pelaksana iaitu 2,462 orang (66.1%) berbanding 1,258 orang (33.8%) dalam kumpulan pengurusan dan profesional serta empat orang (0.1%) dalam kumpulan pengurusan tertinggi. 

 

"Sementara itu, bagi sektor swasta jumlah OKU yang berkhidmat pada tahun 2022 adalah 3,186 orang, meningkat daripada 1,377 orang pada 2021," katanya.

 

Katanya, kategori pekerja perkhidmatan dan jualan merekodkan jumlah tertinggi OKU pada tahun 2022 iaitu 956 orang, diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (363 orang) dan profesional (276 orang).

 

Mohd Uzir berkata, statistik bagi pendapatan dan perbelanjaan menunjukkan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah bagi isi rumah yang mempunyai OKU sebagai ahli isi rumah pada 2022 adalah RM4,390 dan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata adalah RM5,679. 

 

Sementara itu katanya, perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata bagi isi rumah yang mempunyai OKU merekodkan RM3,974 pada tahun yang sama.

 

Katanya, merujuk kepada perkhidmatan kebajikan, terdapat tiga institusi utama bagi OKU di Malaysia iaitu Taman Sinar Harapan, Bengkel Daya dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan. 

 


"Taman Sinar Harapan merupakan institusi di bawah JKM yang memberikan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada OKU kategori masalah pembelajaran. Manakala Bengkel Daya merupakan Bengkel Terlindung di bawah JKM yang dikhususkan bagi OKU tidak berdaya saing untuk mendapat pekerjaan di pasaran terbuka. 

 

"Selain itu, Pusat Latihan Perindustrian danPemulihan ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memperkasa OKU dengan menyediakan latihan vokasional kepada golongan OKU sebagai persediaan menyertai pasaran kerja," katanya.

 

Tambah beliau, sejumlah 798 OKU menghuni di Taman Sinar Harapan pada 2022 dan 78 OKU berdaftar sebagai pelatih di Bengkel Daya pada tahun yang sama. Manakala di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan, Bangi tmenerima sejumlah 80 pelatih OKU pada tahun sama untuk pelbagai skim latihan.

 - DagangNews.com