Lebih RM39 juta Bantuan Wang Ihsan berjaya diagih kepada mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

Lebih RM39 juta Bantuan Wang Ihsan berjaya diagih kepada mangsa banjir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Lebih RM39 juta Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjaya diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid berkata, setiap penerima dimaklumkan tarikh dan tempat janji temu bagi pemberian bantuan tersebut.

 

"Bantuan ini kami serahkan setiap hari kepada mangsa berdasarkan temu janji.

 

"Jika ada yang tidak hadir ke pusat pemberian bantuan, kami mengambil inisiatif untuk mencari mereka untuk serahan bantuan ini," katanya ketika meninjau proses pemberian BWI di Balai Raya Kampung Lombong di sini, hari ini, lapor Bernama. 

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, Mohd. Faizal Abd. Raji berkata, pengagihan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan kepada penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 akan selesai dalam masa terdekat ini.

 

Katanya, seramai 2,304 ketua isi rumah telah menerima bantuan tunai daripada kerajaan negeri dan Persekutuan berjumlah RM2,000 seorang.

 

jpm

 

“Sebelum ini, kami telah mengagihkan bantuan itu kepada lebih 90 keluarga dan fasa pemberian seterusnya akan dibuat di Dewan Azalea (Taman Sri Muda) pada Isnin ini dan 17 Januari,” katanya. - DagangNews.com