Leform sasar kumpul RM71.5 juta menerusi IPO untuk perkembangan strategik syarikat | DagangNews Skip to main content

Leform sasar kumpul RM71.5 juta menerusi IPO untuk perkembangan strategik syarikat

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Leform Berhad akan berusaha mengumpul RM71.5 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dengan sekitar 42% daripada hasil akan digunakan untuk membina ibu pejabat baharunya, kemudahan penyimpanan gudang dan penginapan pekerja.

 

Selain daripada perbelanjaan pembesaran, RM21.91 juta lagi atau 30.6% daripada hasil itu diperuntukkan untuk tujuan modal kerja untuk membeli bahan mentah bagi menyokong aktiviti perniagaannya yang semakin berkembang, manakala RM14.39 juta atau 20.1% akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank.

 

Baki RM5.2 juta atau 7.3% adalah untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.

 

Leform akan disenaraikan pada 22 November 2022 dengan syarikat itu terlibat dalam pembuatan dan perdagangan paip keluli, pagar dan produk keluli rata seperti gegelung keluli dan kepingan.

 

Pengarah Urusan Leform, Law Kok Thye berkata, hasil IPO dijangka mempercepatkan trajektori pertumbuhan kumpulan.

 

“Kemudahan baharu yang dicadangkan itu akan menjadi pusat sehenti yang membolehkan kecekapan operasi yang lebih tinggi selain kapasiti penyimpanan akan meningkat sebanyak 93.2%.

 

“Dengan pelancaran prospektus kami, Leform kini selangkah lebih dekat untuk menjadi syarikat tersenarai awam. 

 

"Kami masih yakin dengan prospek perniagaan kami bergerak ke hadapan dengan jangkaan penggunaan keluli yang meningkat di belakang pemulihan dalam industri pembuatan dan pembinaan," katanya dalam satu kenyataan selepas pelancaran prospektus, hari ini.

 

IPO Leform melibatkan terbitan awam sebanyak 311 juta saham biasa baharu, mewakili kira-kira 21% daripada modal saham yang diperbesarkan, bersama-sama dengan tawaran untuk penjualan 74.1 juta saham sedia ada, mewakili 5% daripada modal saham yang diperbesarkan.

 


Daripada 311 juta saham terbitan awam baharu, 74.1 juta saham baharu tersedia untuk orang awam Malaysia, 29.6 juta saham tersedia untuk pengarah dan pekerja kumpulan yang layak dan mereka yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sebanyak 22.2 juta lagi saham baharu boleh didapati melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan/atau terpilih yang dikenal pasti dan 185.1 juta saham baharu tersedia melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

 

Kira-kira 74.1 juta saham sedia ada juga akan ditawarkan untuk jualan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan/atau terpilih yang dikenal pasti.

 

MIDF Amanah Investment Bank Berhad ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal. - DagangNews.com