Lembaran baharu industri pelancongan bangkit semula - MOTAC | DagangNews Skip to main content

Lembaran baharu industri pelancongan bangkit semula - MOTAC

Pelancongan. Kredit foto CNN

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Mac. - Industri pelancongan negara mampu menarik nafas lega untuk kembali bangkit apabila menerima dua khabar gembira yang pastinya memberi manfaat kepada penggiat industri pelancongan, seni dan budaya tempatan.

 

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Hajah Nancy Shukri berkata, pengumuman terkini kebenaran Gelembung Pelancongan Bersasar yang membolehkan pelancong dari kawasan PKP  Pemulihan (PKPP) bergerak merentas ke negeri di bawah PKPP lain mulai hari ini secara tidak langsung membuka ruang dan peluang untuk orang ramai kembali melancong.

 

Jelasnya, perkara itu pastinya menjadi permulaan lembaran baru sebagai pemangkin untuk industri pelancongan bangkit semula, seterusnya membantu kelangsungan hidup para pekerja yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan.

 

Nancy Shukri
Nancy Shukri

 

"Pada masa yang sama, kami di MOTAC turut berterima kasih kepada kerajaan kerana aktiviti langsung bagi industri kreatif di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini juga telah dibenarkan.

 

"Ini termasuk program rasmi kerajaan, televisyen, seni muzik, tari, teater, muzikal, komedi, persembahan kebudayaan dan warisan boleh diadakan secara langsung dengan melibatkan kehadiran 50% penonton dengan pematuhan SOP yang ketat.

 

"Untuk itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang bersetuju menerima cadangan-cadangan MOTAC ini," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran gelembung pergerakan pelancongan bersasar domestik dari negeri PKPP ke negeri PKPP lain bermula 10 Mac 2021.

 

 

Kebenaran tersebut dibuat bersama syarat-syarat tertentu seperti berikut;

  • Perlu menggunakan perkhidmatan syarikat agensi pelancongan berdaftar dengan MOTAC.
  • Pergerakan hanya menggunakan kenderaan-kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.
  • PERGERAKAN SECARA PERSENDIRIAN TIDAK DIBENARKAN.
  • Syarikat agensi pelancongan perlu mendapat kebenaran pihak PDRM untuk pergerakan rentas negeri.
  • Perjalanan mestilah terus ke negeri PKPP dan tidak dibenarkan berhenti di mana-mana negeri PKPB.
  • Tempat penginapan telah ditetapkan dan aktiviti-aktiviti pelancongan juga perlu ditetapkan lebih awal.
  • Pergerakan dari PKPB ke PKPP masih tidak dibenarkan.

 

 

Mengulas lanjut, Nancy turut meluahkan harapannya agar rakyat Malaysia dapat menjadi pelancong yang bertanggungjawab dan menikmati pengalaman persembahan kebudayaan tanpa alpa dan leka untuk mematuhi SOP yang ditetapkan. 

 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada syarikat pelancongan tempatan untuk memanfaatkan peluang mempamerkan perkhidmatan yang mempesona dan memuaskan hati ramai pelancong domestik dan asing yang telah berkunjung ke destinasi di negara kita sebelum ini.

 

"Tawaran harga menarik dan berpatutan, penambahan pengalaman melancong melalui penceritaan pemandu pelancong serta kemudahan perkhidmatan pemandu dan pengangkutan, pastinya boleh menarik minat untuk rakyat Malaysia kembali untuk menggunakan perkhidmatan anda di masa hadapan.

 

"Marilah kita semua mengambil ruang dan peluang susulan pengumuman kerajaan yang penuh bermakna ini untuk semarakkan pelancongan domestik," katanya. - DagangNews.com