Lockdown : Infineon berdepan kerugian ekoran penutupan kilang di Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Lockdown : Infineon berdepan kerugian ekoran penutupan kilang di Malaysia 

 

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Syarikat pengeluar cip Jerman, Infineon Technologies AG menjangkakan akan mengalami kerugian sehingga berjuta euro ekoran penutupan kilang di Malaysia bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Reinhard Ploss. 

 

Lapor Reuters, kilang pengeluaran itu dijangka mencapai kapasiti 100% menjelang akhir bulan ini, yang menyaksikan pendapatan dari bahagian automotif dan sistem sensor akan tertekan pada suku fiskal keempat. 

 

"Terdapat kesan yang cukup besar pada suku ketiga dan kami menjangkakan perkara yang sama pada suku keempat untuk tahun fiskal kewangan," jelas beliau dalam laporan berkenaan.

 

Beliau berkata demikian ketika memberitahu penganalisis mengenai prestasi kewangan suku ketiga Infineon hari ini.

 

Pendapatan kumpulan hanya berkembang 1% suku ke suku kepada 2.72 bilion euro disebabkan langkah membendung penularan pandemik COVID-19 di kilang pengeluarannya di Melaka dan keadaan cuaca yang sukar di Austin, Texas di sebalik permintaan kukuh.  

 

Pada suku berkenaan, pendapatan daripada operasi berterusan meningkat kepada 245 juta euro berbanding 209 juta euro pada suku sebelumnya. 

 

Infineon menjangkakan pendapatan pada suku keempat akan meningkat kepada 2.9 bilion euro dengan keseluruhan tahun kewangan 2021 kira-kira 11 bilion euro. 

 

Syarikat itu bergelut dengan beberapa langkah sekatan bagi membendung penularan gelombang baharu yang secara tidak langsung menjejaskan pengeluarannya di Asia dengan tahap inventori berada pada paras rendah.

 

Malah, Reinhard berkata, permintaan bagi semikonduktor tidak pernah terputus tetapi pasaran berdepan situasi penawaran yang ketat ekoran langkah pergerakan untuk membendung wabak tersebut. - DagangNews.com