MAB Engineering, IVP meterai perjanjian pajakan hangar 4 di Lapangan Terbang Subang | DagangNews Skip to main content

MAB Engineering, IVP meterai perjanjian pajakan hangar 4 di Lapangan Terbang Subang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - MAB Engineering Services dan Impeccable Vintage Properties (IVP) memeterai perjanjian pajakan untuk kemudahan penyelenggaraan rangka pesawat hangar 4 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ketika Forum Penerbangan China NAICO Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan Malaysia Aviation Group, Mohd Nadziruddin Mohd Basri berkata, perjanjian pajakan itu berikutan surat tawaran dan penerimaan yang ditandatangani di Pameran Penerbangan Selangor pada September 2023. 

 

Beliau berkata, perjanjian itu merupakan peristiwa penting apabila MAB Engineering memperluaskan keupayaan dan jejaknya dalam menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau ini . 

 

Katanya, pemajakan Hangar 4 menyediakan kapasiti operasi untuk menampung satu pesawat badan lebar dan dua badan sempit secara serentak, sekali gus meningkatkan kecekapan untuk menyokong keperluan sektor penerbangan.


 
"Perjanjian pajakan ini menandakan peristiwa penting dalam dedikasi kami untuk mengembangkan keupayaan kami, menyampaikan perkhidmatan yang luar biasa dalam industri penerbangan. 

 

"Kami teruja untuk meningkatkan dan mengukuhkan perkhidmatan MRO kami, yang menyerlahkan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan antarabangsa.

 

"Peluasan ini membolehkan kami meningkatkan standard industri dan memenuhi keperluan pelanggan dan pemegang kepentingan kami yang semakin berkembang, seterusnya mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju untuk MRO perkhidmatan dalam sektor penerbangan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IVP, Fuad Sharuji pula berkata, pelaburan pihaknya dalam membaik pulih hangar MRO di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah adalah sebahagian daripada komitmen strategik untuk mengukuhkan pertumbuhan sektor penerbangan Malaysia. 

 

"Kami amat berbesar hati kerana perjanjian ini akan memberi peluang untuk MAG mewujudkan kehadiran dan operasi jangka panjangnya di Kompleks A," katanya.


 
Pada masa ini, MAB Engineering mengendalikan empat kemudahan hangar, termasuk dua di KLIA, satu di Kota Kinabalu dan satu di SZB khusus untuk penyelenggaraan pesawat 'turboprop'. 

 

Infrastruktur itu menyediakan jumlah kapasiti sehingga 13 ruang pesawat tersedia khusus untuk penyelenggaraan utama dan kecil, serta Lawatan Penyelenggaraan Berat (HMV), dengan ruang khusus untuk mengecat pesawat. - DagangNews.com