Mah Sing kini boleh memasarkan sarung tangan getah nitril ke AS | DagangNews Skip to main content

Mah Sing kini boleh memasarkan sarung tangan getah nitril ke AS

 

 


KUALA LUMPUR 6 Dis - Mah Sing Group Bhd. menerusi unit penjagaan kesihatannya, Mah Sing Healthcare Sdn. Bhd. memperoleh kelulusan daripada Pentabiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) untuk memasarkan sarung tangan getah pemeriksaan nitril dalam pasaran di negara tersebut.

 

Menurut Mah Sing, dengan memperoleh pelepasan 510(k) bertarikh 4 Disember itu, ia membolehkan pengeluaran lesen peranti perubatan daripada Health Canada dan sementara menanti lengkapnya Sijil Peraturan Peranti Perubahan Kesatuan Eropah, Mah Sing Healthcare boleh mengeksport sarung tangan getah gred perubatan kepada pasaran yang lebih luas termasuklah pasaran utama seperti AS, Kanada dan Eropah.  

 

Katanya, kumpulan juga percaya permintaan global bagi sarung tangan getah akan terus meningkat sehingga 2023. 

 

"Ini adalah tepat pada masanya, kerana Mah Sing akan melengkapkan pentauliahan 12 barisan pengeluaran pada Disember dan sudah menerima banyak pertanyaan jualan daripada para pelanggan. 

 

"Mesin celup sarung tangan berkelajuan tinggi ini boleh mengeluarkan 38,000 keping sarung tangan getah bagi setiap sejam untuk setiap barisan pengeluaran, membolehkannya mencapai pengeluaran maksimum sehingga 3.68 bilion keping sarung tangan getah setahun," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Unit sarung tangan getah Mah Sing itu memulakan operasi pada Mei 2021 dan dalam tempoh beberapa bulan, ia telah mengeluarkan terutamanya sarung tangan getah bukan perubatan dan perindustrian. 

 

Kumpulan turut merancang untuk melaksanakan pembungkusan secara automatik pada masa akan datang dengan kerjasama pakar pembungkusan automasi. 

 

Ia juga akan melaksanakan sistem perancangan sumber perusahaan dan kawalan penyeliaan termaju serta sistem pemerolehan data.

 

Menurut Mah Sing, permintaan bagi sarung tangan selepas era pandemik akan meningkat pada kadar 15 hingga 20% setahun berbanding 8 hingga 10% setahun sebelum pandemik. 

 

"Malah, permintaan bagi sarung tangan getah dijangka kekal stabil berikutan meningkatnya  struktur permintaan, kebimbangan jangkitan semula, peningkatan kesedaran kesihatan dan keperluan pematuhan kebersihan untuk kedua-dua sektor penjagaan kesihatan dan bukan penjagaan kesihatan," jelasnya. - DagangNews.com