MAHB berada dalam landasan pemulihan, raih manfaat daripada pembukaan sempadan antarabangsa dan PRU15 | DagangNews Skip to main content

MAHB berada dalam landasan pemulihan, raih manfaat daripada pembukaan sempadan antarabangsa dan PRU15

Malaysia merekodkan 5.3 juta penumpang pada September 2022 dengan sektor domestik terus menerajui pemulihan trafik . - Gambar : Facebook MAHB
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Okt - CGS-CIMB Research menaikkan penarafan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) kepada 'tambah' daripada 'pegang' dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM7.15 berbanding RM6.60 sesaham sebelum ini.

 

Semakan itu berdasarkan kepada pergerakan trafik antarabangsa di lapangan terbang MAHB mungkin melebihi jangkaan awal setelah merekodkan 8.2 juta penumpang pada September 2022. 

 

Menurut firma itu, penarikan semula sekatan COVID-19 di Jepun, Taiwan dan Hong Kong akan memberi manfaat kepada Malaysia pada suku keempat ini dan seterusnya, manakala trafik di peringkat domestik pada November mendapat rangsangan daripada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

 

Katanya, pembukaan semula Asia Utara akan memanfaatkan lapangan terbang MAHB, kerana ia tiba pada masanya untuk peningkatan trafik menjelang cuti akhir tahun.

 

"Pada 2019, Jepun merangkumi 3.5% daripada trafik antarabangsa di Malaysia diikuti Hong Kong (3.3%) dan Taiwan (2.8%), menjadikan keseluruhannya sebanyak 9.6%.

 

"Malangnya, China, yang menyumbang 11.2% daripada jumlah yang sama, masih ditutup buat masa ini, walaupun ia mungkin mempertimbangkan untuk mengurangkan keperluan kuarantin," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data yang dikeluarkan MAHB mendapati pergerakan penumpang menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas melepasi lapan juta penumpang buat kali pertama sejak Mac 2020.

 

Malaysia merekodkan 5.3 juta penumpang pada September 2022 dengan sektor domestik terus menerajui pemulihan trafik apabila merekodkan 3.4 juta penumpang manakala sektor antarabangsa mencatat paras tertinggi baharu sebanyak 1.9 juta penumpang.

 

Pergerakan pesawat pula menunjukkan peningkatan untuk penerbangan jarak sederhana dan jauh ke destinasi seperti Perth, Sydney dan Auckland, Asia Tenggara dan Asia Selatan memandangkan sekatan perjalanan semakin berkurangan manakala penerbangan tambahan semakin banyak dibenarkan.

 

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul masing-masing merekodkan 1.5 juta dan 1.4 juta penumpang antarabangsa dan domestik.

 

Pada asas suku tahunan, suku ketiga 2022 mencatatkan jumlah penumpang suku tahunan tertinggi sejak suku kedua 2020 iaitu 24 juta penumpang atau 71% pada paras sebelum pandemik.

 

Menurut CGS-CIMB, analisis yang dijalankan terhadap kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan yang dilaporkan kepada pembekal data syarikat penerbangan OAG mencadangkan pemulihan trafik penumpang antarabangsa di Malaysia pada 2022 boleh mencecah 32% daripada 2019, lebih tinggi daripada jangkaannya sebelum ini, 30%.

 

Selain itu, katanya, trafik penumpang domestik juga boleh kembali pulih tahun ini kepada 71% daripada 2019, tetapi masih di bawah andaian 75% yang diunjurkannya sebelum ini.

 

"Hasil bersih daripada kemungkinan prestasi lebih tinggi bagi trafik penumpang antarabangsa tetapi trafik penumpang domestik yang mencatat prestai rendah, ialah pengurangan 9.9% dalam anggaran kerugian bersih teras tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) kepada RM215 juta, berbanding kerugian RM239 juta sebelumnya," jelasnya.

 

Bagi ISG pula, ia menjangkakan trafik antarabangsa kembali pulih tahun ini dengan mencecah 110% daripada asas 2019, manakala penumpang domestik pula mencecah 72%, lebih rendah berbanding anggaran 75% yang dibuatnya sebelum itu.

 

Secara keseluruhan, firma itu menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras MAHB bagi FY22 sebanyak 25.5% setelah mengambil kira kerugian bagi operasi di Malaysia yang lebih rendah dan keuntungan ISG yang dijangka lebih tinggi berikutan pemulihan trafik antarabangsa di kedua-dua negara.

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB berkata, risiko penurunan bergantung kepada sejauh mana China akan terus menutup sempadan antarabangsanya sehingga 2023, yang telah diambil kira dalam unjuran trafik antarabangsa pada tahun hadapan. 

 

"Sejajar dengan itu, kami mengurangkan EPS teras bagi FY23 sebanyak 19.9% diikuti 5.6% bagi FY24," katanya. - DagangNews.com