MAHB, Capital A bersedia raih manfaat daripada pemulihan kukuh sektor penerbangan | DagangNews Skip to main content

MAHB, Capital A bersedia raih manfaat daripada pemulihan kukuh sektor penerbangan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Okt - Sektor penerbangan akan mengalami pemulihan yang lebih kukuh terutamanya dengan pembukaan semula sempadan China dijangka menjelang akhir tahun ini.

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Daniel Wong berkata, pemulihan sektor itu dapat dilihat menerusi segmen domestik yang meningkat sehingga 92.1% pada Mei 2022 kepada paras prapandemik, sebelum kembali merosot beberapa bulan kemudiannya. 

 

Pada masa sama, katanya, segmen ASEAN turut meningkat beransur-ansur kepada 48.3% pada Ogos 2022, berbanding segmen antarabangsa (bukan ASEAN) yang lebih perlahan sekitar 28.5%.

 

"Namun begitu, kami melihat trend yang sihat secara keseluruhannya. Malah, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) telah memberi panduan kapasiti tempat duduk antarabangsa bagi mingguan akan meningkat sekitar 60% kepada tahap sebelum pandemik menjelang akhir tahun ini (daripada 41.4% pada Ogos), tetapi peningkatan domestik pula lebih perlahan sekitar 75% (daripada 66.4% pada Ogos).

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam permintaan untuk perjalanan antarabangsa apabila lebih banyak negara membuka semula sempadan mereka (baru-baru ini Jepun, Taiwan dan Hong Kong) dan mempermudahkan lagi syarat kemasukan ke negara terbabit," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor penerbangan dengan saranan 'beli' terhadap MAHB dan Capital A Bhd. pada harga sasaran masing-masing, RM7.85 dan 88 sen.

 

Menurut Wong, pemulihan pengangkutan udara yang kukuh akan memberi manfaat kepada MAHB, di samping keuntungan daripada struktur kos yang lebih rendah dan program penetapan semula komersial yang dilaksanakan semasa pandemik COVID-19.

 

Tambahan pula, katanya, lebih banyak negara kini membuka semula sempadan mereka dan melonggarkan lagi sekatan, manakala syarikat penerbangan sibuk memulihkan kapasiti mereka kembali ke tahap sebelum pandemik.

 

"Selain itu, pelaksanaan perjanjian operasi (OA) baharu yang akan datang akan memberikan kepastian pendapatan dan aliran tunai untuk MAHB dalam jangka masa yang lebih panjang.

 

"Ini membolehkan MAHB komited kepada pelan perbelanjaan modal (capex) pembangunan lapangan terbang jangka panjang dengan kadar pulangan pelaburan yang terjamin," katanya.

 

Sementara itu, bagi Capital A, beliau berkata, status Nota Amalan 17 (PN17) masih menjejaskan daya tarikan sahamnya, meskipun pengurusan yakin dapat menyelesaikan isu tersebut tanpa pencairan modal.

 

"Kami juga tidak terlalu bimbang dengan penubuhan MYAirline LCC, kerana Capital A mempunyai kelebihan daya saing yang kukuh untuk rekod prestasi yang panjang, kumpulan pesawat dan kehadiran geografinya.

 

"Tambahan pula, hasilnya  kini berada dalam persekitaran yang jauh lebih baik kerana syarikat penerbangan telah menjadi lebih rasional dalam penetapan harga," jelasnya. - DagangNews.com