MAHB peruntuk RM3.7 juta bantu kakitangan terjejas akibat bencana banjir | DagangNews Skip to main content

MAHB peruntuk RM3.7 juta bantu kakitangan terjejas akibat bencana banjir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memperuntukkan sejumlah RM3.7 juta bagi membantu kakitangan yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, sumbangan itu merangkumi RM3 juta sumbangan wang tunai kepada seramai 1,034 kakitangan mereka selain pelbagai jenis bantuan dijalankan termasuk misi menyelamat dan penyediaan penempatan sementara, serta bantuan keperluan asas selain pembersihan kediaman yang terjejas.

 

Beliau berkata, sejumlah RM700,000 akan diagihkan menerusi program Zakat Wakalah kepada mereka yang berkelayakan dan usaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini akan diteruskan.

 

“Sebaik sahaja dimaklumkan akan keadaan kakitangan yang terjejas, kami dengan segera mengaktifkan inisiatif bantuan #MYAirportCARES berdasarkan keperluan semasa.

 

"Antaranya bantuan yang disediakan termasuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) yang bertempat di Malaysia Airports Training Centre (MATC) selain mengaktifkan pasukan tindakan khas yang bertanggungjawab menyelaraskan koordinasi dan bantuan bagi mereka yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Majlis sumbangan itu berlangsung di Pejabat Korporat Malaysia Airports dan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ketat. 

 

mahb

 

Inisiatif #MYAirportCARES ini juga mendapat sambutan dalam kalangan warga kerja lain yang turut membantu membersihkan kediaman mangsa-mangsa banjir. 

 

Lebih kurang 400 sukarelawan dari pelbagai peringkat termasuk pengurusan tertinggi turut berganding bahu menyumbangkan tenaga mereka untuk membersih sekitar 100 rumah setelah air mulai surut dan keadaan kembali reda.

 

mahb

 

Sementara itu, Iskandar Mizal berkata, bencana banjir yang melanda negara ketika ini sememangnya memberi kepada yang buruk kepada mangsa terutama dalam menyediakan belanja tambahan untuk persekolahan anak-anak.

 

“Antara kawasan yang terjejas teruk adalah di Labohan Dagang, Bukit Changgang, Bandar Sri Ehsan, Taman Langat dan Kampung Labu Lanjut di mana ramai kakitangan kami yang terlibat. 

 

"Syarikat berharap bantuan tambahan dalam bentuk wang tunai ini dapat meringankan beban kakitangan kami," katanya. - DagangNews.com